652 Laman Phishing Disekat Dalam Tempoh Lima Bulan Tahun I
Cyberjaya,
1 Julai - Sebanyak 652 laman sesawang 'phishing' disekat dari Januari
hingga Mei tahun ini berbanding 835 bagi tempoh sama tahun lepas, yang
menyaksikan pengurangan sebanyak 22 peratus.
Pengerusi
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil
Tarmizi berkata penurunan jenayah itu membuktikan tindakan penguatkuasaan semakin berkesan.
"Pusat
keselamatan Rangkaian SKMM (SNSC), Jabatan yang bertanggungjawab
menangani masalah phishing, berfungsi 24 jam sehari dan mengambil masa
tidak lebih dari empat jam untuk menurunkan sesebuah laman phishing yang
dikesan," katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Bukit Aman SAC Wong Wai Leong serta Pengarah Jabatan Komunikasi
Strategik Bank Negara Malaysia Shariffuddin Khalid.
Phishing
adalah satu bentuk penipuan dalam talian yang berniat mencuri maklumat
atau identiti seseorang menerusi e-mel, dan maklumat peribadi yang
diperoleh digunakan untuk masuk ke dalam akaun bank mangsa atau perkara
lain.
Mohamed
Sharil berkata penurunan jenayah itu juga hasil kerjasama serta
penguatkuasaan antara Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
Beliau
berkata daripada 652 laman yang disekat, 117 melibatkan laman sesawang
lucah, kesalahan syariah (lima), menggunakan Internet atau telefon untuk
menyebar berita palsu yang tertakluk di bawah Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia (dua), perubatan iaitu penjualan serta
periklanan dan laman syarikat masing-masing satu.
"Daripada
bilangan itu, jumlah kes sebanyak 39 membabitkan kerugian RM178,700
manakala pada 2012, sebanyak 332 kes dengan kerugian RM1,959,932
berbanding tahun 2011 iaitu 872 kes melibatkan kerugian RM3,294,740,"
katanya sambil menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya.
Mohamed Sharil berkata mereka boleh melayari laman sesawang SKMM untuk mengetahui dengan lebih jelas berkaitan jenayah itu.
Sementara itu, Wong berkata phishing hanya membabitkan lapan peratus daripada jenayah siber di Malaysia.
"Kebiasaannya,
mangsa yang membuat laporan terdiri daripada mereka yang mengalami
kerugian, ada juga yang tidak melaporkan kerana tidak melibatkan
kerugian seperti akaun Facebook diceroboh," katanya.
Sumber : BERNAMA