Dua Polis Cedera Dirempuh Mat Rempit
Kuala Terengganu - 10 Januari 2009. Seorang pegawai dan anggota polis trafik cedera dirempuh mat rempit dalam dua kejadian yang berasingan di sekitar bandar ini.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, ASP Ismail bin Man, patah tangan kiri manakala L/Kopral Mohd Al Fauzi Abdullah dari Ibu Pejabat Trafik Kuala Lumpur patah tulang kering. Kejadian pertama berlaku di Jalan Sultan Mahmud dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok apabila seorang mat rempit merempuh L/Kopral Mohd Al Fauzi di sekatan jalan raya kira-kira jam 2 pagi. Suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 warna hitam melarikan diri dan polis sudah mengenal pasti mat rempit terbabit.
ASP Ismail pula dihempit mat rempit yang sedang berlumba di Jalan Wakaf mempelam dan menyebabkan mangsa yang menaiki motosikal terjatuh dalam longkang, kira-kira jam 2.30 pagi. Pihak polis juga sudah mengenal pasti suspek dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati pemilik berdaftarnya sudah meninggal dunia dan cukai jalan telah tamat tempoh.
YDH Dato' Mohd Shukri bin Dahlan, Ketua Polis Negeri berkata, mereka dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan stabil. Beliau juga berkata, seramai sembilan pegawai dan anggota yang bertugas pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala terengganu kini dirawat di HSNZ sejak 4 Januari 2009.