6 000 Polis Berkawal Tak Wajar Dipolitikkan
Kuala
Terengganu- 10 Januari 2009. Kehadiran ramai polis untuk menjaga
ketenteraman dan keamanan sepanjang tempoh pilihan raya kecil Parlimen
Kuala Terengganu hingga 17 Januari ini tidak seharusnya dipolitikkan
pihak tertentu dengan mendakwa ia menakutkan pengundi dan orang ramai.
Ketua
Polis Terengganu, YDH Dato' Mohd Shukri Dahlan, berkata kenyataan
sedemikian langsung tidak berasas kerana kehadiran polis adalah untuk
menjaga keamanan dan keselamatan.
"Ini bukan
isu politik, tambahan pula jumlah anggota polis yang terbabit dalam
pilihan raya (kecil) ini lebih rendah berbanding pilihan raya kecil di
Ijok, Selangor dan Permatang Pauh, Pulau Pinang. Polis mempunyai
tanggungjawabnya sendiri. Kita sudah matang dan tahu apa yang perlu
dilakukan. Tidak perlu dipersoalkan tugas dijalankan polis. Kami
diharapkan untuk menjaga keselamatan dan kami tahu apa yang kami buat,"
beliau berkata demikian selepas melawat seorang pegawai polis yang
dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas dirempuh oleh mat
rempit, di sini, semalam.
Laporan sebelum
ini menyebut sejumlah 6,000 anggota polis ditugaskan sepanjang pilihan
raya kecil dan mereka ditempatkan di empat markas taktikal iaitu satu di
setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Kuala
Terengganu.
Mohd
Shukri berkata, kehadiran polis secara asasnya menjaga keselamatan dan
menjaga kelancaran perjalanan proses pilihan raya, selain membantu
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Pada masa
sama polis juga bertanggung jawab menjaga hal lain yang berkaitan
dengan keselamatan, contohnya kawalan trafik, kawalan orang kenamaan dan
menentukan keselamatan di tempat awam," katanya.
Sementara
itu, menyentuh mengenai proses berkempen, beliau berkata, pasukan
penguat kuasa perjalanan kempen menurunkan beberapa kain rentang dan
bendera yang mempunyai lambang DAP dalam kawasan DUN Bandar di Jalan
Kampung Cina, pagi semalam. Katanya, tindakan itu diambil kerana parti
berkenaan tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini.
Mengenai
permit ceramah, Mohd Shukri berkata, polis meluluskan tujuh permit iatu
enam untuk Pas dan satu daripada BN. Bagaimanapun, lima permohonan
daripada Pati Keadilan Rakyat (PKR) ditolak kerana parti itu tidak
terbabit pada pilihan raya ini.
"Hingga
kini, polis sudah mengeluarkan 27 permit iaitu 18 kepada Pas dan 9
kepada BN," katanya sambil menambah semua parti politik dinasihatkan
mematuhi arahan dan peraturan berkempen dan mahu keadaan itu berterusan
hingga hari pengundian.
(Berita dari petikan Berita Harian)