Dua Pencuri Kereta Diberkas Ketika Sedang Makan
Kuantan,
16 April - Dua orang mekanik yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri
dua buah kereta di Selangor ditahan ketika berhenti rehat dan menjamu
selera di sebuah restoran di Kubang Pasu, Kuala Lipis semalam.
Ketua
Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan ketika dihubungi di sini
berkata berkata mereka yang berumur 21 tahun dan berasal dari Kelantan itu ditahan kira-kira 2.40 petang.
Kedua-duanya
dipercayai pakar mencuri kenderaan dan meleraikan komponen kenderaan
yang dicuri untuk dijadikan alat ganti kereta terpakai. Mengenai kes
tersebut, Abdul Razak berkata pada hari yang sama, pemilik kereta Honda
Civic tersebut menyedari keretanya hilang di Puchong, Selangor sebelum
beliau membuat hebahan melalui laman web Kelab Honda Civic.
Beliau
berkata secara kebetulan dua anggota dari Balai Polis Merapoh yang
dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis telah
berselisih dengan kereta mangsa lalu mengekorinya.
"Selepas
mengekori sejauh kira-kira lebih dua kilometer, suspek di dapati
berhenti di sebuah restoran dan makan bersama seorang lelaki sebelum
anggota berkenaan bertindak menahan mereka," katanya.
Beliau
berkata sebuah lagi kereta Proton Perdana yang dipandu rakan mereka
yang juga dilapor hilang di Puchong turut ditemui. Suspek kini direman
selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun
Keseksaan. - BERNAMA