Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Cubaan Seludup Minyak Diesel Bersubsidi Gagal Lagi

Diterbitkan: 19 Jun 2014 3.44 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Tampoi, 8 April - Tiga lelaki warga tempatan dicekup di dua lokasi berasingan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi keluar dari negara di Skudai, Johor Bharu ..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/cubaan-seludup-minyak-diesel-bersubsidi-gagal-lagi
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 07:07 MYT

Tampoi, 8 April - Tiga lelaki warga tempatan dicekup di dua lokasi berasingan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi keluar dari negara di Skudai, Johor Bharu hari ini.

Operasi yang diketuai oleh ASP Rohizan Mohamad Saaid itu berjaya membongkar taktik licik mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai untuk mengisi minyak diesel bersubsidi.

Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dua lelaki di sebuah stesen minyak di Tampoi dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan tersebut mempunyai tangki tambahan yang dipercayai telah diubah suai.

"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua kenderaan tersebut menemui lebih kurang 800 liter minyak diesel disimpan di ruangan bawah kenderaan dan kokpit".

"Ekoran daripada penahanan kedua-dua suspek pegawai serbuan telah melakukan tindakan susulan di mana telah menahan sebuah lori di Petronas Jalan Skudai dan berjaya merampas minyak diesel 500 liter yang disimpan di dalam tangki simpanan di bahagian belakang lori", katanya.

Sindiket ini dipercayai akan membeli minyak diesel di beberapa stesen minyak di seluruh Johor Bahru dan dikumpulkan di sebuah stor haram yang kemudiannya dibawa ke pesisiran pantai seterusnya dipindahkan ke kapal tangki untuk diseludup dan dijual ke negara jiran.

Minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,200 dan ketiga-tiga suspek yang berumur 37 tahun hingga 59 tahun itu ditahan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.

"PPM W2 akan terus menjejaki sindiket ini dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedia ada," tambahnya lagi.

Cubaan Seludup Minyak Diesel Bersubsidi Gagal Lagi
Sumber : Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor

ArtikelDiterbitkan 19 Jun 2014 3.44 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM