Apresiasi Kepada Pejuang Sebenar Anak Bangsa Negara
Bukit Kepong , 13 Sept -
Sebagai menghargai nilai perjuangan 25 orang yang terkorban kerana
mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan komunis pada
23 Februari 1950, Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas
Tentera Malaysia telah menganjurkan Majlis Memperingati Pejuang Negara
di perkarangan Balai Polis Bukit Kepong, Pagoh, hari ini.
Bermula
seawal 9 pagi, majlis didahului dengan nyanyian lagu Kebangsaan
Negaraku dan lagu rasmi negeri Johor, seterusnya diselangi dengan
deklamasi puisi oleh ASP Mohamad Mahat yang juga merupakan Juara
Deklamasi Puisi PDRM Peringkat Kebangsaan.
Bertepatan
dengan objektif majlis, program diteruskan dengan pengkisahan
kenegaraan daripada Kumpulan Komuniti Bestari Durian Chondong yang
memperlihatkan kepada audien kronologi peristiwa Bukit Kepong dan
sesekali perhatian tertumpu kepada waris serta keluarga mereka yang
terkorban. Perasaan sebak dan terharu mengenang tragidi tersebut mula
dirasai hadirin, di mana sesekali mereka menyeka airmata menyaksikan
pengkisahan tersebut.
Y.Bhg
Hj. Tahir bin Mohd Taat, ADUN Bukit Serampang seterusnya mengisi slot
majlis dengan ucapan perasmian forum 'Siapa Pejuang Sebenar'.
Kemuncak
majlis menyaksikan sesi forum 'Siapa Pejuang Sebenar' yang
dipengerusikan oleh moderator Y.Bhg Prof Shaharuddin bin Abd. Azizb,
Bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
dan barisan panel dihadiri oleh Y.Bhg Prof Datuk Dr. Ramlah Adam,
Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti
Teknologi MARA (UiTM), Y.Bhg Prof Madya Dato' Dr. Rosli Salehuddin,
Pensyarah UPSI dan Y.Bhg Tan Sri Rahim Noor, Mantan Ketua Polis Negara.
Forum
yang berlangsung selama lebih kurang 3 jam ini turut menyaksikan sesi
soal jawab daripada audien yang terdiri daripada bekas-bekas polis,
tentera, ahli keluarga mangsa tragedi Bukit Kepong bersama penduduk
tempatan yang banyak melontarkan soalan serta reaksi mereka mengenai
tragedi berdarah tersebut dan juga bantahan mereka terhadap ideologi
komunisme di negara ini.
Mengakhiri
majlis, 10 orang wakil Persatuan Bekas Polis dan Tentera naik ke atas
pentas membaca 'Deklarasi Bukit Kepong'. Seterusnya hadirin mengambil
peluang untuk melawat Pameran Memperingati Pejuang Negara yang diadakan
di Muzium Balai Polis Bukit Kepong.
Nilai Sebenar Pejuang Negara
Menyingkap
kembali sejarah Peristiwa Bukit Kepong, merupakan satu peristiwa yang
akan terus terpahat dalam lipatan sejarah tanah air.
Gugurnya
seorang demi seorang anggota polis balai tersebut, diikuti sanak
keluarga mereka sesekalipun tidak melunturkan semangat mereka daripada
akur kepada desakan sang komunis untuk menyerah diri.
Bagi
mereka, apa yang dipertahankan, bukan hanya sebuah balai polis, tetapi
sesuatu yang lebih bernilai untuk anak bangsa yakni maruah tanah air
daripada dicabuli berterusan oleh petualang negara tersebut yang
mengakui matlamat boleh menghalalkan cara mereka.
Meskipun
diakui mereka boleh terselamat sekiranya menyerah atau melarikan diri,
namun atas dasar perjuangan tersebut, menolak segala ideologi komunisme,
mereka sanggup bertahan, gugur seorang demi seorang dan menyaksikan
isteri mereka turut mengangkat senjata biarpun sehingga kehabisan peluru
dan dihumban ke dalam api.
Inilah
nilai sebenar perjuangan yang harus dihayati oleh masyarakat kita yang
sewajarnya perlu disematkan dalam hati setiap anak bangsa kita dan
janganlah dibiarkan ia menjadi sia-sia hanya kerana kepentingan sesuatu
pihak sahaja.
Pahlawanku
Jika Hilangmu Tanpa Pusara..
Jika Pusaramu Tanpa Nama..
Jika Namamu Tanpa Bunga..
Jangan Siapa Mengatakan Engkau Derhaka..
Maka Engkaulah Pahlawan Yang Sebenarnya..
Semangatmu Api Negara Yang Berdaulat..
Namamu Terukir Di Jantung Rakyat… -Persatuan Bekas Polis Dan Tentera Malaysia

Deklamasi Puisi daripada ASP Mohamad Mahat, Juara Deklamasi Puisi PDRM Peringkat Kebangsaan.


BERKESAN..Pengkisahan Tragedi Bukit Kepong daripada Kumpulan komuniti Bestari Durian Chondong, Johan Pengkisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2009.



SAYU... antara ahli keluarga mangsa Tragedi Bukit Kepong yang terkesan dengan pengkisahan pantomin tersebut.

Jamilah Abu Bakar..anak kepada Kons. Abu Bakar Daud yang turut menjadi mangsa serangan pengganas komunis di Bukit Kepong.



Antara yang hadir dalam majlis pada hari ini.






Panel-panel forum menyampaikan hujah mereka untuk disaksikan hadirin-hadirin pada majlis tersebut.

Anak kepada Kons Mohd Top Lazim yang terkorban dalam serangan tersebut.

HANGAT...ternyata sesi soal jawab berkenaan topik forum pada hari ini mendapat reaksi yang begitu menggalakkan daripada audien yang hadir.


Bacaan 'Deklarasi Bukit Kepong' dan penyerahan cenderahati oleh Persatuan Bekas Polis Dan Tentera Malaysia Kurator Muzium PDRM.

Sesi bergambar bersama waris dan keluarga mangsa Tragedi Bukit Kepong.


Antara yang dipamerkan dalam Muzium Bukit Kepong.
Wartawan : L/Kpl Irfan bin Bujang
Jurufoto : L/Kpl Mohd Helmi
Penyunting : ASP Foo CS