Anggota Polis Kemalangan Maut Dapat Insuran
Bukit Aman - 8 Mei 2008. Majlis Penyerahan Cek daripada MCIS Zurich Insurance kepada waris kemalangan maut telah diadakan di Auditorium PDRM, Tingkat 16, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Penyerahan cek tersebut disempurnakan oleh YDH SAC I Puan Zaleha binti Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) PDRM, kepada waris-waris dengan disaksikan oleh Encik Jayabarathi, Chief Agency Manager MCIS Zurich Insurance.
Menurut YDH SAC I Puan Zaleha Abdul Rahman, bukan sahaja keluarga mereka kehilangan ahli keluarga tersebut, malah pasukan polis turut merasainya kehilangan anggota-anggota itu kerana mereka telah dilatih dan menunjukkan mutu disiplin yang tinggi ketika menjalankan tugas.
"Pasukan
amat merasai kehilangan ketiga-tiga anggota itu. Mereka diibaratkan
sebagai aset pasukan setelah diberikan latihan dan tunjuk ajar untuk
menjadi seorang anggota polis yang berintegriti", ujar YDH SAC I Puan
Zaleha.
Allahyarham Konst. Mohd Faizan Md. Sari, Konst. Mohd Riduan Md. Yusof dan Konst. Muhamad Ghadafi Khalib telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas.
Cek-cek tersebut telah diterima oleh waris mereka iaitu Md. Sari Jadi bapa kepada Konst. Mohd Faizan Md. Sari, Ruminah Md. Yasim, ibu Konst. Mohd Riduan Md. Yusof dan Ramlah Sainin ibu Konst. Muhamad Ghadafi Khalib.
"Mereka amat bertuah kerana menyertai insuran. Ini yang dikatakan malang tidak berbau, hasil pelaburan mereka telah memberikan 'impak' kepada keluarga mereka yang ditinggalkan", kata YDH SAC I Puan Zaleha binti Abd Rahman sambil mengharapkan agar seluruh warga PDRM memiliki insuran samada melalui Koperasi Polis ataupun peribadi.

Waris-waris
anggota polis menerima insuran daripada MCIS Zurich yang diserahkan
oleh YDH SAC I Puan Zaleha Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan
(Pentadbiran) PDRM, dan disaksikan oleh Encik Jayabarathi, Chief Agency
Manager MCIS Zurich Insurance.