Majlis Penutup Latihamal Sarex Tiger Platoon Batalion 6 Pga Bakri Muar
Tangkak- 23 Julai 2008 . Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia sering diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan gerakan-gerakan bagi mematahkan kebangkitan bersenjata dan subversive, mengadakan rondaan di kawasan perbatasan dan pantai, menyuraikan perhimpunan haram, menjejak dan menangkap pesalah yang melarikan diri, mencari dan menyelamat semasa kejadian bencana alam.
Untuk melaksanakan tanggungjawab ini, maka satu unit yang dinamakan Tiger Platoon telah ditubuhkan untuk menjalankan operasi-operasi khas seperti tersebut. Tiger Platoon ini telah mula ditubuhkan sejak zaman darurat lagi semasa adanya keganasan dan kekacauan yang dicetuskan oleh pihak komunis.
Pada tarikh 16 Jun 2008 , YDH CP Dato’ Hussin bin Haji Ismail, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam telah mengarahkan semua Batalion Pasukan Gerakan Am membuat kajian mengenai kedudukan Tiger Platoon. Sehubungan dengan itu, YDH Komander Briged Tengah melalui utusan bertarikh 16 Jun 2008 mengarahkan penubuhan unit Tiger Platoon.
Tiger Platoon Batalion 6, Pasukan Gerakan Am, Bakri, Muar ditubuhkan pada 6 Mac 2008. Tiger Platoon ini merupakan satu unit yang serba boleh dan merupakan pasukan khas kepada Pegawai Pemerintah yang berkemampuan dan berkebolehan tinggi, boleh bergerak dalam apa jua keadaan untuk menjalankan tugas-tugas Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Sebagai barisan hadapan, pemilihan Pegawai dan anggota yang menganggotai Tiger Platoon dipilih berdasarkan keupayaan fizikal dan mental yang tinggi bagi meningkatkan imej Batalion 6 dan Polis Diraja Malaysia.
Tiger Platoon Batalion 6, PGA terdiri daripada seorang Platun Komander, C/Insp Ahmad Azhari bin Zakaria, seorang Platun Sarjan, tiga orang Seksyen Komander dan 30 orang anggota infantri. Bagi memastikan Tiger Platoon sentiasa dapat menjalankan tugas dan mengambil tindakan dengan berkesan, beberapa latihan yang berterusan perlu diatur bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran, daya tahan fizikal dan mental serta teknik-teknik operasi terkini. Antara latihan-latihan ialah:-
- Latihan PORU
- Latihan Mencari dan Menyelamat
- Latihan peperangan di hutan
- Pengendalian enjin sangkut
- Teknik tempur jarak dekat (COB)
- Kepakaran menembak pantas
- Pengendalian menggunakan tali
- Rondaan jarak jauh
- Teknik pengumpulan maklumat / perisikan
- Tempur tanpa senjata / karate
Sehubungan dengan itu, Tiger Platoon Batalion 6 telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan, Latihamal SAREX (Mencari dan Menyelamat) Siri 1/2008 yang bermula 15 Julai 2008 dan tamat pada 23 Julai 2008.
Latihan dijalankan di Taman Hutan Lagenda , Taman Negara Johor Gunung Ledang. Taman Negara Johor. Gunung Ledang mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas dimana ketinggian yang tertinggi adalah 1,276 meter dan merupakan gunung yang keenam sukar di daki di Malaysia.
Tujuan latihan ini adalah untuk mendapatkan pengetahuan , kemahiran dan kompetensi hasil daripada pengajaran teori dan amali, dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih dari VAT 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas yang diketuai oleh Insp. Hamzah bin Abd Rani.
Latihamal SAREX ini dibahagikan kepada dua fasa. Fasa I bermula 15 – 18 Julai 2008. Fasa I adalah amali latihan Asas Pertolongan Cemas, pengendalian alat-alat Repelling, simpulan tali, body line, strong point, ancor, teknik repelling dan repelling di tebing rendah dan tinggi. Fasa II pula bermula pada 19 – 23 Julai 2008 merangkumi amali mencari dan menyelamat didalam hutan.
Latihamal ini bercorak operasi satu hala (one sided) yang dikawal sepenuhnya oleh Bahagian Kawalan Latihamal. Ianya meliputi aspek teori, amali serta tunjuk ajar yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar sepanjang latihan.
Apabila tamat latihan, diharap objektif-objektif berikut dapat dicapai:-
- Memperolehi ilmu pengetahuan sebagai ketua di peringkat Platun dan Seksyen.
- Mempraktikkan setiap ilmu pengetahuan yang diperolehi
- Dapat menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anggota bawahan
- Mendedahkan kepada anggota tentang peranan, tugas dan tanggungjawab dalam perlaksanaan tugas mencari dan menyelamat.
Majlis Penutup SAREX telah disempurnakan oleh YDH Supt. Ahmad Bakhtiar bin Kassim, Pegawai Pemerintah Batalion 6, PGA Bakri. Hadir sama, DSP Chor Ah Sing, Penolong Pegawai Pemerintah, DSP Abdul Rani bin Alias, Timbalan Pegawai Turus Latihan 69 Komando, ASP Hj. Zulkiple bin Kassim, Ajutan Batalion 6, C/Insp Andam Sulin ak Brayun, Inspektor Latihan, pegawai-pegawai serta dif-dif jemputan.
Dimajlis tersebut juga, Tiger Platoon Batalion 6 PGA telah menunjukkan keupayaan dan kemahiran didalam persembahan menyelamat dan mencari di Taman Hutan Lagenda, Taman Negara Johor Gunung Ledang. Majlis diakhiri dengan penyampaian Sijil dan nyanyian lagu Sang Saka Biru dan Polis Sedia Berkhidmat.

Jurulatih Kpl Faizul Asmadi membuat pemeriksaan 'Body Line' sebelum memulakan latihan.

Cekap...Platun Komander, C/Insp Ahmad Azhari bin Zakaria melakukan 'Repelling Tebing Rendah'

YDH Supt. Ahmad Bakhtiar bin Kassim, Pegawai Pemerintah Batalion 6, PGA Bakri (lima dari kanan) disambut oleh Pegawai-pegawai Batalion 6 PGA semasa melihat persembahan peserta SAREX

Naratif Latihan...Kemahiran anggota Tiger Platoon merawat rakan yang tercedera

Membawa rakan yang tercedera dikawasan yang curam menggunakan kaedah tali semasa latihan mencari dan menyelamat

Rakan yang tercedera di bawa turun dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah

Jurulatih Kanan, Insp Hamzah Abd Rani (lima dari kanan) menerangkan kekukuhan tandu untuk membawa mangsa yang diperbuat dari batang kayu dan akar mempelas

Tandu membawa mangsa yang diperbuat menggunakan baju

Gambar Kenangan..Pegawai Pemerintah Batalion 6, PGA Bakri bersama dif dif jemputan bergambar kenangan bersama peserta-peserta SAREX

Peserta-peserta SAREX dan barisan jurulatih bergambar kenangan