8 449 Ditahan Dalam Tempoh Sebulan Ops Cantas Dilaksanakan
Kuala
Lumpur, 17 Sept - Seramai 8,449 orang yang terlibat dalam pelbagai
kesalahan jenayah telah ditahan dalam tempoh sebulan Ops Cantas Khas
dilancarkan di seluruh negara.
Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata mereka
merupakan daripada 202,839 orang yang diperiksa sejak 17 Ogos lepas
melalui sekatan jalan raya, serbuan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
"Daripada
jumlah itu seramai 3,620 adalah kaum Melayu, India seramai 2,425 orang,
1,052 orang Cina manakala lain-lain bangsa seramai 1,352 orang,"
katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata polis juga turut merampas 23 pucuk senjata api, 1,232 butir peluru serta 283 senjata yang dijadualkan.
"Antara lainnya kita merampas sebanyak 12 laras senapang angin buatan sendiri, sluck peluru (11), sebiji bom tangan," katanya.
Abdul
Jalil berkata senjata yang dijadualkan yang dirampas terdiri daripada
25 bilah pedang, pisau (89), parang (83), kapak (7), batang besi tajam
(16), tukul besi (12), buku lima (26), kayu panjang (4), kerambit (8),
pistol tiruan (3), spanar hidup (3), dua kelopak peluru dan dua cota
serta masing-masing satu stun gun, golok bersarung dan gari.
Beliau juga berkata daripada 124,095 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 354 kenderaan curi dikesan.
"Daripada
50,965 buah kereta yang diperiksa, 174 telah dirampas. Sementara
daripada 61,979 buah motosikal yang diperiksa, 150 dirampas dan daripada
11,151 buah kenderaan lain-lain yang diperiksa 30 dirampas. Kesemunya
kenderaan yang dirampas dipercayai dicuri," katanya.
Ops
Cantas Khas dijalankan bagi membanteras kongsi gelap dan individu
terbabit dengan jenayah berat di seluruh negara setelah jenayah
keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan pergaduhan
dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan
berprofil tinggi.
Sumber : BERNAMA