65 Penagih Dadah Termasuk Dua Wanita Ditahan Di Jengka
Maran,
11 Sept - Polis menahan 65 penagih dadah termasuk dua wanita berusia
lingkungan 20-an dalam Operasi Tapis Bersepadu (OTB) di kawasan ladang
Jengka 9 dan Jengka 13 dekat sini, semalam.
Operasi
yang bermula 4 pagi dan berakhir 6 petang itu diketuai Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan dengan bantuan
lima pegawai dan 58 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Maran,
Temerloh, Jerantut, Lipis, Kuantan, Unit Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA)
Batalion 7 dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang.
Menurut
Yap, seorang daripada wanita terbabit dipercayai pengedar dadah yang
disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya
1952 kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 23 gram.
Katanya
selain menahan kesemua mereka yang berusia di antara 21 hingga 51 tahun
itu, polis turut merampas beberapa paket dibaluti plastik dipercayai
jenis dadah dan picagari dipercayai digunakan dalam aktiviti penagihan
dadah.
"Dua
lokasi ladang sawit itu dipilih penagih yang kesemuanya penduduk
tempatan untuk melepaskan gian kerana jaraknya yang agak jauh daripada
pandangan orang ramai," katanya.
Beliau
berkata selain terbabit dengan penyalahgunaan dadah, polis percaya ada
di antara suspek yang bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar
kawasan berdekatan.
Ini
ekoran penemuan enam bilah parang, pemutar skru dan beberapa alat lain
yang digunakan untuk kegiatan itu bersama suspek yang ditahan.
"Kita
juga merampas 50 buah motosikal yang dinaiki suspek dan dibawa ke balai
untuk dilakukan pemeriksaan bagi memastikan sama ada ia adalah hak
persendirian atau dicuri," katanya.
Sumber : BERNAMA