12 Lelaki Ditahan Ketika Asyik Berjudi Di Sebuah Tokong
Kulaijaya,
11 Sept - Polis menahan 12 lelaki semasa sedang asyik berjudi dalam
serbuan di sebuah tokong, di Taman Manis, dekat Kelapa Sawit, di sini,
dua hari lalu.
Ketua
Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata mereka ditahan pada
pukul 12.50 pagi oleh sepasukan anggota polis yang bertindak atas
maklumat berkaitan perjudian berkenaan.
"Polis
yang tiba di tempat itu mendapati sekumpulan lelaki berkenaan sedang
berdiri mengelilingi meja dengan bermain judi mempertaruhkan wang.
"Mereka
kemudian lari bertempiaran apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa
sebelum akhirnya berjaya ditahan," katanya kepada pemberita, di Ibu
Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini, hari ini.
Zulkefly
berkata polis turut merampas wang tunai RM17,358 dan 944 Dolar
Singapura, dua dadu, beberapa peralatan judi, sebuah meja, lima kerusi
dan sehelai kertas mahjong daripada mereka.
Beliau
berkata siasatan mendapati mereka dipercayai berjudi di situ sejak
Jumaat lalu dalam perjudian jenis tong kow, chee kee pee, poh poh dan
pai kaw.
Katanya mereka yang berumur 36 hingga 63 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber : BERNAMA