34 Ahli Kongsi Gelap Ditahan Dalam Ops Cantas Kl
Kuala
Lumpur, 9 Sept - Seramai 34 individu dipercayai anggota kumpulan kongsi
gelap ditahan dalam Ops Cantas Khas Polis Kuala Lumpur dalam tempoh
lebih tiga minggu sehingga hari ini.
Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata jumlah itu adalah
daripada 502 orang yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah selepas
pemeriksaan terhadap 10,126 orang dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau
berkata dalam serbuan dan pemeriksaan secara terancang di beberapa
lokasi 'hotspot' pada Sabtu dan Ahad lepas sahaja, seramai tujuh
daripada 53 individu yang ditahan terbabit dalam kumpulan kongsi gelap
dan pelbagai senjata api dirampas.
"Dalam
serbuan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Prius Sabtu lepas kira-kira
pukul 8.30 malam di hadapan sebuah restoran di Taman Usahawan Kepong,
polis menahan dua lelaki dan hasil pemeriksaan menemui satu kelopak
peluru bersaiz 9mm berisi 10 butir peluru yang disorokkan di dalam poket
seluar salah seorang daripada mereka.
"Susulan tangkapan itu, satu lagi serbuan dijalankan di pangsapuri Saujana, Damansara Damai.
Seorang
lelaki ditahan dan (polis) merampas tiga pucuk pistol semi auto jenama
Hammerli P26., G23 Milspec dan PX4 Custom, tiga kelopak peluru berisi 29
butir peluru kapur, sepasang gari ibu jari dan pelbagai komponen
pistol," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mohmad
berkata seorang daripada tiga yang ditahan mempunyai rekod jenayah
lampau bersabit dadah dan polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan
kumpulan ini yang dikenali sebagai A'wan.
Kesemua
mereka ditahan mengikut akta berkaitan senjata api dan samun dan kini
direman sehingga 14 September, katanya. Turut didedahkan dalam sidang
media itu ialah penahanan seorang lelaki berusia 40an yang memiliki
watikah pelantikan sebagai 'ayahanda'.
Beliau
dipercayai terlibat dengan kumpulan silat. Tiga pucuk pistol palsu
dirampas dalam satu serbuan Ahad lepas kira-kira pukul 3.35 pagi di
sebuah studio muzik di Taman Sri Rampai.
"Di
badan lelaki ini dipenuhi dengan tatoo...kita masih jalankan siasatan
untuk mengenal pasti sama ada kumpulan yang disertainya itu adalah
pertubuhan haram atau kumpulan kongsi gelap," katanya. Mohmad berkata
lelaki itu ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen
52 Akta Pertubuhan 1966.

Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur