10 Gro Warga Asing Ditahan Di George Town
George
Town, 9 Nov - Polis menahan 10 wanita warga asing yang bekerja sebagai
pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Kedah di sini
lewat malam tadi.
Timbalan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nasir Salleh berkata ketika
serbuan pada pukul 11 malam itu, mereka yang terdiri daripada lapan
wanita warga Vietnam dan dua warga China yang baru beberapa minit
memulakan 'tugas' bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran polis.
"Kesemua
wanita berusia antara 20 dan 30 tahun itu didapati menyalahgunakan pas
lawatan sosial," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata dalam serbuan itu, seorang daripada wanita terbabit terjatuh
ketika cuba meloloskan diri dan mengalami kecederaan di bahagian lutut
sehingga terpaksa dipapah ke balai.
Katanya
polis turut menahan seorang lelaki dipercayai menjadi penjaga pusat
hiburan terbabit dan semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontijen
negeri (IPK) untuk siasatan lanjut dan dokumentasi.
Nasir
berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen
1963 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau
denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara
itu, dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang,
10 pelancong yang sedang leka berhibur nyaris bermalam dalam lokap
selepas mereka tidak membawa dokumen pengenalan diri.
Kesemua
mereka yang diperiksa itu memberi alasan tertinggal pasport dan meminta
kebenaran pulang ke hotel untuk mengambil dokumen berkenaan.
Mereka
yang terdiri daripada empat warga India, dua warga Belgium dan
masing-masing seorang warga Nepal, Jepun, Belanda dan China akhirnya
dibebaskan selepas menunjukkan dokumen sah ketika diiringi polis untuk
mengambil dokumen itu di hotel.
Nasir
berkata dalam serbuan yang sama, tiga lelaki yang didapati mempunyai
tatu yang mencurigakan di anggota badan turut ditahan untuk pemeriksaan
sebelum mereka dibebaskan setelah didapati tiada kaitan dengan kumpulan
kongsi gelap.
Sumber : BERNAMA