
Wpfg 2022 Kpn Beri Penghormatan Raikan 120 Atlet Dan Jurulatih Cemerlang Pdrm
Petaling Jaya, 4 Februari 2022 - Meskipun padat dengan jadual tugas harian, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani malam semalam hadir meraikan barisan atlet dan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengharumkan nama negara dan Pasukan dalam Kejohanan World Police and Fire Games (WPFG) 2022 di Rotterdam, Netherland pada 22 sehingga 31 Julai tahun lalu.
Beliau juga Yang Dipertua Majlis Sukan PDRM mengakui berasa bangga dengan pencapaian cemerlang para atlet PDRM yang telah berjaya menamatkan cabaran WPFG 2022 dengan membawa pulang 125 pingat iaitu 45 pingat emas, 38 perak dan 42 gangsa menerusi 10 acara sukan yang dipertandingkan di persada antarabangsa.
"Saya percaya, segala kejayaan yang dikecapi ini bukanlah datang bergolek, tetapi diiringi dengan pengorbanan dan usaha berterusan daripada semua pihak.
"Kesungguhan dan komitmen tinggi para atlet, kecekapan pihak pengurusan dan urus setia, sumber kewangan yang kukuh, serta kebajikan dan logistik yang teratur merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini," ucap beliau dalam majlis apresiasi yang diadakan di Royale Ballroom, Hotel Royal Chulan Damansara, di sini.
120 atlet PDRM di bawah naungan Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Dato’ Sri Zaini Jass selaku "Chef De Mission" telah menyertai kesemua acara yang dipertandingkan merangkumi sukan golf, karate, badminton, tenpin bowling, tarik tali, olahraga, angkat berat, dart, ragbi dan basikal.
Turut diraikan dalam majlis gilang-gemilang tadi ialah barisan 27 rakan penaja korporat yang telah prihatin untuk mendukung usaha pembangunan sukan negara dan Pasukan.
Kesemua atlet, jurulatih dan barisan penaja menerima sijil penghargaan daripada Tan Sri Acryl Sani.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, CP Dato’ Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, Timbalan Pengarah (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Kenteraman Awam, CP Dato’ Khaw Kok Chin dan Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Bahagian Agama dan Kaunseling – BAKA) Bukit Aman, DCP Dato’ Hj. Ghazali Hj. Daud.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin.