Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru

Diterbitkan: 09 Jun 2014 3.31 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.47 PM
Majlis yang di adakan di Institut Integriti Malaysia ini adalah bagi mendokumentasikan keperwiraan 38 anggota polis yang telah dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan gagah Perkasa (SP) dan Bintang Panglim..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/warisan-perjuangan-perwira-sang-saka-biru
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 23:37 MYT

Kuala Lumpur - 7 Januari 2008. Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Arkib Negara Malaysia  telah menganjurkan Majlis Pengkisahan Sejarah PDRM 'Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru, Paksi Pertiwi, Setia Integriti, Diri Ma'anawi' bermula 6 Januari dan berakhir 9 Januari 2008.

Hadir dimajlis tersebut, Y. Bhg para penerima Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormatan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Bintang Panglima Gagah Berani (PGB), Y. Bhg. Tan Sri  Abdul Aziz bin Haji Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri,  YDH IG Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara, Y.Bhg. Datuk Dr. Mohd Tap bin Salleh, Presiden Institut Integriti Malaysia, Y.Bhg. Dr. Shamsiah binti Muhammad, Pengarah Pengurusan Arkib Negara Malaysia, YDH DIG Dato' Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato'-Dato', Dif-dif jemputan, Pegawai-pegawai Kanan IIM dan Jabatan Arkib Negara Malaysia serta PDRM

Institut Integriti Malaysia dan Polis Diraja Malaysia telah bekerjasama dalam projek Pemantapan Integriti sejak akhir tahun 2004. Inisiatif Pemantapan Integriti adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Lima Tahun PDRM (PS5T-PDRM 2007-2011) dan satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara IIM dan PDRM dengan disaksikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 6 September 2007 di Pusat Konvensyen Putrajaya.

Majlis yang di adakan di Institut Integriti Malaysia ini adalah bagi mendokumentasikan keperwiraan 38 anggota polis yang telah dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Bintang Panglima Gagah Berani (PGB). Majlis ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan atas keberanian mereka mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga ketenteraman awam.

Seramai 23 orang daripada 38 orang penerima bintang kehormatan yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong tersebut masih hidup dan 20 orang daripada mereka berhimpun pada majlis ini untuk menceritakan perjuangan mereka bagi didokumentasikan. Daripada jumlah itu, seramai 15 orang telah menerima SP dan 23 orang lagi menerima PGB dan 7 orang yang menerima bintang kehormatan tersebut masih berkhidmat didalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

Dalam Ucapan Perasmian oleh YDH IG Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara, beliau berharap pegawai-pegawai dan anggota yang baru menceburi kerjaya bersama PDRM akan mencontohi semangat dan perjuangan yang telah diukir oleh perwira SP dan PGB.
Beliau juga berharap proses dokumentasi yang dilaksanakan ini tidak harus dilihat sebagai suatu pengisian lompang maklumat sejarah negara semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks pembinaan sahsiah, jati diri dan peningkatan semangat patriotisme dan iltizam semua pihak di negara ini, untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.

Majlis Pengkisahan Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru ini diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kepahlawanan dan nilai integriti anggota dan institusi polis, bukan setakat 38 orang yang telah dianugerahkan bintang kehormatan tetapi setiap anggota polis yang berjuang dengan ikhlas, dengan penuh setia integriti, adalah perwira yang tidak ternilai sumbangan mereka kepada negara dan agama.

Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru
YDH IG Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan menjulang buku 'Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru' yang akan diedarkan untuk bacaan umum dan dijadikan sebahagian dari modul integriti kepada anggota-anggota polis yang sedang menjalani latihan kepolisan

Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru
Bergambar Kenangan bersama 20 orang penerima bintang kehormatan yang dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Bintang Panglima Gagah Berani (PGB).

Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru
dari kanan - Semangat Perjuangan...Tokoh Pengkisahan DSP Mohd Noor bin Razak (PGB) (Bersara) dan DSP Abdul Razak bin Mohd Yusoff (SP)(Komando VAT 69) menceritakan pahit getir, sengsara keperitan pengorbanan kerana perjuangan mereka menentang musuh negara yang di Pengerusikan oleh Encik Azhar bin Mad Aros dari Universiti Malaya

ArtikelDiterbitkan 09 Jun 2014 3.31 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.47 PM