Warga Nigeria Bawa 700g Serbuk Heroin Ditahan
KUALA
LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan kembali aktif
memperdayakan wanita tempatan untuk menyeludup dadah keluar dari negara
ini berikutan penahanan seorang lelaki Afrika di Sepang, Selasa lalu.
Suspek
yang berusia 28 tahun, ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah
(LCCT) bersama 700 gram (g) serbuk heroin tulen bernilai RM160,000
dipercayai sedang menunggu ‘kekasihnya’ yang dijadikan keldai dadah bagi
menyeludup dadah berkenaan.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang
Chez Chiang berkata, hasil risikan, pihaknya memeriksa suspek, seorang
lelaki warga Nigeria yang juga pelajar di kolej swasta di ibu negara,
kira-kira jam 7.30 pagi.
“Suspek mendakwa tidak tahu
kandungan beg galas dibawanya kerana hanya diarahkan menunggu seseorang
untuk mengambil beg itu, namun helahnya terbongkar apabila akhirnya dia
mengaku menunggu ‘kekasihnya’, seorang warga tempatan untuk membawa
dadah itu keluar negara.
“Bagaimanapun
wanita itu terselamat daripada diperdayakan apabila tidak datang
menemuinya dan kami juga tidak menemui tiket penerbangan ke negara
terbabit kerana dipercayai tidak sempat diserahkan kepada suspek,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Kang
berkata, beg itu diubah suai di bahagian bawah dengan menambah tiga
lapisan terdiri daripada span dan karbon ditampal menggunakan pita
pelekat bagi mengaburi pihak berkuasa lapangan terbang.