Warga Emas Bersama Anak Dan Menantu Ditahan Miliki Dadah
Warga Emas Bersama Anak Dan Menantu Ditahan Miliki Dadah
George
Town, 13 Mac - Polis menahan seorang warga emas bersama anak dan
menantunya serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM130,000 di
sebuah rumah di Jalan Patani di sini malam tadi.
Ketua
Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dua lelaki dan seorang
wanita berusia 36 hingga 61 tahun itu di tahan pada pukul 10 malam hasil
maklumat awam dan risikan polis.
"Semasa
serbuan di rumah berkenaan, terdapat sepasang suami isteri dan bapa
lelaki terbabit dan hasil pemeriksaan, kita menemui pelbagai jenis dadah
antaranya 2.34 kilogram ketamin, 1,274 biji pil ekstasi, 14 biji pil
eramin 5 dan syabu bernilai RM130,000.
"Selain
itu, polis turut merampas alatan untuk membungkus dadah, sepucuk
pistol, satu kelopak berisi tujuh butir peluru dan sebutir bom tangan,"
katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya
turut disita ialah dua buah kereta Toyota Camry, wang dalam akaun
simpanan tetap, wang tunai dan barang kemas bernilai RM230,600.
Abdul
Rahim berkata siasatan awal mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan
mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak dua tahun lepas.
"Pistol
dan bom tangan yang dirampas bersama mereka dipercayai akan digunakan
bagi mempertahankan diri jika diserbu polis, bagaimanapun semasa serbuan
semalam, mereka tidak sempat melakukan apa-apa berikutan tindakan
pantas anggota kita," katanya.
Katanya
siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka
yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah lain.
"Pasangan
suami isteri yang merupakan kontraktor dan warga emas berkenaan tidak
bekerja itu kini direman sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan
polis," katanya.
Beliau
berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,
Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. -
BERNAMA