Warga Asing Seludup Dadah Rm1 5 Juta
SHAH ALAM 17 Februari 2010 - Belum reda isu penyeludupan dadah membabitkan warga Iran, Polis Selangor hari ini mengumumkan kejayaan terbaru menahan tiga warga asing termasuk seorang dari negara tersebut bersama 10 kilogram dadah bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Ketiga-tiga mereka termasuk dua warga Pakistan ditahan secara berasingan hasil pemeriksaan di KLIA sejak 11 Februari lalu sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, selain dadah, turut ditemui wang asing berjumlah AS$1,589 (RM5,443.69) dan RM1,900 daripada mereka yang ditahan.
Untuk kes lelaki Iran terbaru yang ditahan, dia tiba ke KLIA dari Dubai pada 12 Februari lalu dan ketika diperiksa, polis menemui dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta dalam bagasi dan jaket yang dipakainya.
"Sementara kes dua warga Pakistan itu pula, lelaki pertama berusia 30 tahun tiba dari Doha, Qatar pada 11 Februari lalu bersama dua kilogram heroin bernilai RM160,000.
"Lelaki kedua yang berusia 36 tahun pula datang ke negara ini semalam dengan membawa empat kilogram heroin bernilai RM320,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
ACP Nordin memberitahu, ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, polis tidak menolak kegiatan penyeludupan dadah itu didalangi sindiket antarabangsa berikutan lebih 40 individu dari Iran ditahan menyeludup dadah ke Malaysia sejak awal tahun ini.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kes terbaru ini turut melibatkan sindiket yang sama.
"Kita juga akan terus mengadakan kawalan dan pemeriksaan ketat di pintu-pintu masuk utama negara dan tumpuan sudah pasti akan diberikan terhadap mereka yang datang dari negara Timur Tengah," tegas beliau.