Wanita Sembunyi Ganja Dalam Coli
SEGAMAT 10 Jun 2010 – Taktik seorang wanita yang cuba memperdaya anggota polis dengan menyorok satu gram dadah jenis ganja dalam colinya terbongkar apabila dia berjaya diberkas di Pekan Jabi di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Majid Mohd. Ali berkata, wanita berusia 29 tahun yang merupakan ibu tunggal itu menyimpan dadah berkenaan di celah-celah coli yang dipakainya bagi mengelak dikesan polis.
‘‘Semasa serbuan dibuat pada pukul 4 petang, pemeriksaan di seluruh kediaman suspek tidak menemui sebarang dadah.
“Namun, hasil kecekapan dan pemeriksaan rapi ke atas tubuh badan suspek oleh Pegawai Penyiasat Wanita, dadah jenis ganja seberat satu gram berjaya ditemui,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Abdul Majid, penahanan suspek wanita itu dibuat ekoran tangkapan seorang lelaki berusia 39 tahun di Felda Chempelak, Labis di sini pada pukul 2.25 pagi hari yang sama.
“Suspek lelaki ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah dan pemeriksaan di rumahnya menemui dadah jenis heroin seberat 144 gram.
“Hasil soal siasat, lelaki tersebut memberitahu suspek wanita berkenaan merupakan orang perantaraan dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Katanya, suspek wanita itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama 2 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau memberitahu, suspek lelaki pula ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.
“Siasatan lanjut terhadap suspek lelaki ini mendapati dia memiliki tujuh rekod jenayah lampau termasuk dua kes penyalahgunaan dadah,” katanya.