Wanita Antara Empat Yang Ditahan Mengedar Syabu
KUALA
LUMPUR, 26 Ogos 2010 -- Polis merampas 2.6kg dadah jenis syabu bernilai
RM650,000 dan menahan seorang wanita warga China bersama tiga lelaki
dalam satu serbuan di sebuah tempat letak kereta di sebuah pusat membeli
belah di Damansara, Ahad lepas.
Ketua
Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohammad berkata dalam
serbuan pada pukul 5 petang itu, polis pada mulanya menahan seorang
daripada tiga lelaki itu, yang merupakan warga asing, dipercayai sedang
menunggu pelanggan untuk urusniaga dadah.
"Lelaki warganegara Indonesia berumur 41 tahun ini sedang menjalankan urusan jual beli dadah syabu di tempat letak kereta itu.
"Selepas
itu, beberapa minit kemudian polis berjaya menahan lagi dua lelaki
tempatan dan seorang wanita warga China berumur antara 31 hingga 41
tahun di kawasan sama," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini
pada Khamis.
Beliau
berkata polis yang memeriksa sebuah kereta jenis Kia Carens, dipercayai
milik suspek, menjumpai syabu yang diletakkan di dalam kotak kasut.
Arjunaidi
berkata siasatan awal mendapati syabu yang dirampas adalah daripada
gred berkualiti tinggi dan dipercayai dibawa masuk dari negara luar
untuk edaran di sekitar Lembah Klang.
"Ini merupakan rampasan terbesar daripada segi nilai di daerah Petaling Jaya.
"Kita
percaya sindiket ini mempunyai rangkaian dengan sindiket luar negara
yang didalangi oleh warga asing. Bagaimanapun identiti dalang sindiket
tersebut belum dapat dikenal pasti," katanya.
Beliau
berkata siasatan awal mendapati lelaki rakyat Indonesia itu kerap
keluar masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
Dua rakyat tempatan berkenaan didapati tidak mempunyai pekerjaan dan tiada rekod jenayah.
"Kesemua
yang ditahan positif dadah jenis methaphetamine dan ditahan reman
sehingga 29 Ogos ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya 1957," katanya.