Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Dua Penjenayah Mati Ditembak

Diterbitkan: 16 Jun 2014 1.18 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
KUALA LANGAT 26 Ogos - Dua penjenayah yang baru merompak wang kutipan syarikat bas Cityliner mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Kampung Sungai Lang Dalam di sini tengah malam tadi...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-penjenayah-mati-ditembak
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 12:00 MYT

KUALA LANGAT 26 Ogos - Dua penjenayah yang baru merompak wang kutipan syarikat bas Cityliner mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Kampung Sungai Lang Dalam di sini tengah malam tadi.

Dalam insiden pada pukul 12.30 tengah malam itu, polis berjaya mendapatkan semula wang rompakan kira-kira RM6,000 selain dua pucuk pistol dan sebilah parang.

Bagaimanapun, seorang lagi penjenayah yang turut terlibat dalam rompakan di pejabat syarikat bas itu di Pekan Banting di sini berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, hasil maklumat, Pasukan Respond Team Selangor dihantar ke lokasi dan berjaya mengesan kereta Proton Waja dinaiki mereka di kawasan Banting.

Beliau berkata, pasukannya kemudian mengejar Proton Waja tersebut dan ketika tiba di kawasan tali air Kampung Sungai Lang Dalam, kereta itu terbabas.

"Ketiga-tiga suspek keluar dari kenderaan dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan dua das tembakan ke arah polis sehingga memaksa polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

"Dua daripada suspek mati dan seorang lagi dapat melarikan diri. Usaha memburu suspek yang lolos telah dilancarkan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Khalid, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang mati ditembak berusia 41 tahun dan 43 tahun serta berasal dari utara tanah air.

Katanya, mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau antaranya termasuk mencuri, merompak serta mencederakan orang.

"Salah seorang daripada mereka pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam, Johor.

"Siasatan di pejabat Cityliner pula mendapati, kumpulan penjenayah itu melakukan rompakan ketika dua pekerja menutup pejabat.

"Penjenayah itu dipercayai melepaskan satu das tembakan ke siling dan satu lagi ke lantai semasa merompak," kata beliau.

Ujar beliau, pihaknya juga sedang menyiasat penglibatan kumpulan penjenayah terbabit dalam beberapa siri rompakan sebelum ini termasuk di Klang tahun lepas yang melibatkan seorang pemandu lori.

Tambah beliau, kereta Proton Waja yang digunakan kumpulan perompak terbabit semasa kejadian didapati telah dilaporkan hilang di Klang pada Mei lepas.

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 1.18 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM