Wang Tunai Berjumlah Lebih Rm500 000 Dipercayai Hasil Jualan
Petaling
Jaya, 2 Julai - Polis menyita wang tunai RM527,580 dipercayai hasil
perniagaan dadah daripada seorang lelaki tempatan dalam serbuan di
sebuah rumah di Damansara, di sini Jumaat lepas.
Ketua
Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata kejadian
pertama pukul 11 malam, Jumaat lepas, seorang suspek lelaki berumur 36 tahun ditahan bersama enam ketulan ganja seberat 4.6kg dan wang tunai RM262,580 di sebuah rumah di Damansara.
"Kami
percaya wang tunai yang disimpan suspek adalah hasil perniagaan dadah.
Selain wang itu, kita turut menyita wang tunai di dalam akaun bank milik
suspek sebanyak RM265,000," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Susulan
daripada tangkapan itu, Arjunaidi berkata polis turut membuat serbuan
kedua pada 5 petang semalam dan menahan tiga lagi suspek lelaki berumur
lingkungan 27 hingga 39 tahun di sekitar Damansara.
Beliau
berkata seorang daripada mereka bekerja sebagai pemandu di sebuah
syarikat dan dipercayai menggunakan kenderaan jenis Toyota Estima milik
syarikat itu untuk mengedar dadah.
"Ketika
ditahan, polis merampas 20 ketulan ganja seberat 19kg di dalam kereta
itu. Selang 45 minit kemudian, dua lagi suspek lelaki dipercayai
mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah ditahan di lokasi berhampiran.
Katanya hasil rampasan dadah daripada empat suspek itu dianggarkan bernilai RM200,000.
"Kami
yakin mereka mempunyai rangkaian pengedaran dadah yang luas di sekitar
Damansara, Sungai Buloh dan Sungai Penchala serta dipercayai bergiat
aktif sejak sebulan lepas," katanya.
Arjunaidi berkata polis masih menyiasat sama ada kumpulan berkenaan mempunyai saki-baki anggota di kawasan itu.
"Hasil
siasatan polis mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod
jenayah lampau manakala ujian air kencing yang dijalankan didapati
negatif.
Mereka direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA