Walkabout Yab Perdana Menteri Di Balai Polis Sea Park Sempena Pelancaran Penempatan Semula Pegawai
PETALING JAYA 2 Jun 2010 - Pada petang ini, YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan 'Walkabout' di Balai Polis Sea Park Sempena Pelancaran Penempatan Semula Pegawai Beruniform Dalam PDRM.
Turut mengiringi beliau ialah YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mohd. Sidek bin Hassan, Ketua Setiausaha Negara, YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan YDH Dato'-Dato' Pengarah Polis Diraja Malaysia.
Hadir sama ialah YDH DCP Dato' Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Selangor, YDH SAC I Dato' Thiveegan a/l Arumugam, Timbalan Ketua Polis Selangor, ACP Arjunaidi bin Mohamed, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM serta dif-dif jemputan.
Balai Polis Sea Park diketuai oleh Inspektor Gunam Rasul bin Gulam Mohammad, dibantu oleh Sub Inspektor Md. Zain bin Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Balai dengan kekuatan 218 anggota keseluruhannya dan 9 orang kakitangan awam.
Mempunyai kepadatan penduduk berjumlah 280,000 orang dengan keluasan 18.25 km persegi, Balai Polis Sea Park berjaya menurunkan kadar Jenayah Indeks sebanyak 18.55 peratus bagi tahun 2010 (Jan-April) berbanding tahun 2009. Perbandingan Jenayah Indeks Jalanan kawasan 'Hot Spot' Sea Park juga menunjukkan penurunan 22.7 peratus bagi tempoh Januari-Mei 2010 berbanding tempoh yang sama tahun 2009.
Kewujudan lebih ramai anggota dan pegawai polis beruniform di tempat-tempat awam melalui penempatan semula di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), mampu menggerunkan penjenayah.
Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak berkata, melalui pendekatan itu, ia juga diyakini dapat memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa keselamatan mereka adalah terjamin.
Beliau berkata, ia terbukti apabila kadar jenayah jalanan pada masa kini telah berjaya diturunkan sebanyak 39.6 peratus.
Tambahnya, indeks jenayah keseluruhan pula turun 15.1 peratus bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Penempatan semula anggota dan pegawai polis yang merupakan salah satu inisiatif NKRA, telah membolehkan rakyat merasa selamat dan yakin. Kewujudan lebih ramai polis beruniform di tempat awam dilihat penampilan menggerunkan," katanya selepas membuat lawatan di Balai Polis Sea Park dan beberapa kedai di kawasan SS2.
Katanya, selain itu, mereka turut dibantu Sukarelawan Polis (PVR) terdiri daripada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) yang memakai uniform polis disamping sokongan komuniti tempatan melalui Rukun Tetangga, juga merupakan satu lagi input penting dalam menjaga keselamatan di sesuatu kawasan.
"Melalui cara ini dan ditambah dengan adanya Balai Polis Bergerak, kamera litar tertutup (CCTV), penambahan logistik seperti motosikal dan kereta peronda, ia dilihat satu pakej baik bagi mengurangkan kadar jenayah dalam negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menjadikan Selangor sebagai modul kepada asas komuniti kepolisan.
Katanya, bagi ibu negara pula akan diterjemahkan sebagai kawasan polis berdasarkan kepada Model Baru Ekonomi (MBE).
"Bagi tempat-tempat lain, kita akan melakukan penambahbaikan dengan melibatkan kerjasama tiga penjuru iaitu polis, kakitangan awam dan masyarakat. Ia diharap dapat membawa kepada penurunan dengan ketara kadar jenayah dalam negara kita," katanya.
Sehingga kini, seramai 7,402 pegawai dan anggota polis yang sebelum ini menjalankan tugas pentadbiran sudah diserapkan untuk menjalan penugasan kepolisan dikawasan panas dan kekosongan digantikan dengan 4,279 orang kakitangan awam.
Kerajaan akan mengkaji keberkesanan langkah penstrukturan semula itu sebelum mengambil tindakan susulan, katanya.
Dalam tinjauan mesra itu, YAB Perdana Menteri bersalaman dan berbual dengan orang ramai termasuk peniaga, pekerja premis perniagaan dan penduduk setempat.
YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara dan YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, bersama-sama menunggu kedatangan YAB Perdana Menteri Malaysia di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya
YDH Ketua Polis Negara berbual dengan YB Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri...
Timbalan Ketua Polis Negara bersama YDH DCP Dato' Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Selangor dan YDH SAC I Dato' Thiveegan a/l Arumugam, Timbalan Ketua Polis Selangor
YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga turut hadir
Kawalan Kehormatan, segak bergaya menunggu ketibaan YAB Perdana Menteri Malaysia
Team Rondaan Cegah Jenayah Bermotosikal Balai Sea Park...
YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri menerima tabik hormat...
Inspektor Gunam Rasul bin Gulam Mohammad, Ketua Polis Balai Sea Park melapurkan kehadiran anggota bertugas kepada YAB Perdana Menteri Malaysia di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Sea Park.
YAB Perdana Menteri menandatangani Buku Pelawat...
Taklimat Pentadbiran Balai Polis Sea Park disampaikan oleh ACP Arjunaidi bin Mohamed, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya
YAB Perdana Menteri meluangkan masa melawat Pejabat Pertanyaan Balai Polis Sea Park.
C/Insp Sulaiman bersama-sama anggota Sukarelawan Polis dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia menunggu kehadiran YAB Perdana Menteri untuk sesi suaikenal dan ramah mesra...
Anggota Balai Polis Sea Park...
Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri beramah mesra dengan anggota Balai Polis Sea Park.