Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah
Seri Iskandar, Perak - 1 Jun 2010. Di pagi yang bersejarah ini, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullah-Lah, Sultan Yang Di-Pertuan Dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun, berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan upacara Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah.
Turut menyerikan majlis ini ialah Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar bin Raja Muda Musa dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nor Mahani binti Raja haji Shahar Shah.
Seluruh warga Polis Diraja Malaysia serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, dengan penuh takzim, menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan Duli-Duli Tuanku, yang sudi berangkat mencemar duli ke majlis ini.
Hadir di Upacara Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah ialah YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara dan Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan Puan Sri Hajjah Suriati binti Md. Sobri, YDH DCP Dato' Pahlawan Zulkifli bin Abdullah, Ketua Polis Perak dan Y.Bhg Datin Noraini binti Abdul Jalil, YDH Dato'-Dato' Pengarah Polis Diraja Malaysia, YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah serta Pegawai-pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia.
Turut hadir ialah YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Yang Mulia Tengku Datin Seri Marsila binti Tengku Abdullah, YAB Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dan YAB Datin Seri Sharipah binti Zulkifli, YB Dato' Dr. Abdul Rahman bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YBhg. Datin Faridah bt Din, YBhg. Dato' Hasin bin Hasan, Pegawai Daerah Perak Tengah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Y.Bhg. Orang-Orang Besar Negeri Perak, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Dif-dif jemputan.
Kerajaan telahpun membuktikan komitmen yang tinggi apabila menyediakan peruntukan sebanyak RM58.66 juta untuk membina Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar yang mula dibina pada 21 Ogos 1999 di atas tanah seluas 29.13 ekar. Pada 7 Ogos 2008, satu sijil siap kerja atau Certificate Practical Completion (CPC) telah diterima oleh pihak kontraktor yang menandakan siap dibina sepenuhnya.
Pada 24 November 2008, Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah telah memulakan operasi pentadbirannya yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang selesa dan moden. Kemudahan ini akan menjadi pemangkin untuk memberikan perkhidmatan yang profesional, pro-aktif dan berkualiti tinggi kepada lebih 100,000 masyarakat Perak Tengah.
Bagi mencapai ke arah objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan berjaya menurunkan kadar Jenayah Indek sebanyak 19.20%, untuk lima (5) bulan pertama tahun 2010, dalam tempoh yang sama bagi tahun 2009.
"Anggota Polis hendaklah terus menghadapi cabaran dan dugaan dengan penuh cekal dan tabah. Tidak gentar untuk melaksanakan tugas dengan tegas sekiranya berada dipihak yang benar. Sentiasa mempertahankan imej Pasukan dengan komitmen untuk membina satu perkhidmatan yang cukup berdisiplin. Hendaklah berazam menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan nama pasukan", titah perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara menandatangani Buku Pelawat

YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri

Keberangkatan tiba Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar bin Raja Muda Musa dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nor Mahani binti Raja haji Shahar Shah

Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, Pengerusi PERKEP Malaysia menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullah-Lah, Sultan Yang Di-Pertuan Dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan berangkat mencemar duli menyempurnakan upacara Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah

DYMM Paduka Seri Sultan Perak membalas Tabik Hormat daripada Kawalan Kehormatan

Hormat Diraja...Lagu kebesaran Negeri Perak dimainkan dan bendera peribadi Sultan dikibarkan. Kawalan Kehormatan terdiri daripada 3 pegawai dan 102 anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan, Kuala Lumpur diketuai oleh DSP Alexandra @ Muhamad bin Dawam

Pemeriksaan Kawalan Kehormatan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sambil diiringi oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Alexandra @ Muhamad bin Dawam

Ucapan oleh YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara

Gimik Perasmian...Rombongan pahlawan Melayu membawa pedang sundang, mengisahkan peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak, era kebangkitan rakyat Melayu menentang penjajahan Inggeris

DYMM Paduka Seri Sultan Perak meletakkan pedang sundang, menandakan perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah.

YDH Ketua Polis Negara menyembahkan cenderahati kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak

Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad menyembah cenderahati kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berangkat melawat pemeran Sejarah Perak di ruang legar IPD Perak Tengah.

Sesi Bergambar di Anjung IPD Perak Tengah