Ulang Tahun Pertama Facebook Pdrm Terima Kasih Atas Sokongan Anda
"...Saya juga
mengucapkan terima kasih kepada segala 'feedback' yang telah diberikan
oleh anda semua melalui Facebook PDRM. 'Feedback' ini berguna untuk
membolehkan kami berusaha menambahbaik perkhidmatan PDRM...."
-Ketua Polis Negara
Cheras , 21 September 2011 -
"Saya mengucapkan terima kasih kepada para peminat Facebook (FB) rasmi
PDRM di atas kesudian untuk bersama-sama kita di hari bersejarah ini dan
dimaklumkan bahawa peminat FB PDRM telah mencecah 85,000 orang dan
sentiasa bertambah dari masa ke semasa, dan saya menganggapkannya
sebagai satu perkembangan yang sangat baik kerana berbanding dengan
peminat-peminat FB di jabatan lain di dalam Kementerian Dalam Negeri, FB
PDRM mempunyai peminat yang tertinggi," ujar YDH Tan Sri Haji Ismail
bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dalam ucapannya sempena Sambutan Ulang
Tahun Pertama Facebook Rasmi PDRM di Dewan Bankuet, Maktab PDRM Kuala
Lumpur hari ini.
Tambah beliau lagi, peminat FB PDRM juga
meliputi pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dalam negara, malahan
turut mendapat sambutan yang menggalakkan di seantero dunia yang
sentiasa mengikut perkembangan semasa yang berlaku di Malaysia
terutamanya dari sudut keamanan dan keselamatan serta aktiviti-aktiviti
semasa yang dijalankan oleh PDRM.
Di samping itu juga, kredit
juga harus diberikan kepada pengamal media tempatan yang turut menjadi
peminat setia dalam mengikuti perkembangan dan memberi sokongan kepada
FB PDRM.
YDH Ketua Polis Negara turut menambah, meskipun tidak
dapat menjemput semua peminat ke majlis pada hari ini, sokongan
berterusan daripada peminat amat diharapkan dan melalui aktiviti yang
berterusan, FB PDRM akan mengaturkan sesi-sesi interaksi secara maya
dengan pucuk pimpinan dari masa ke semasa untuk menghargai mereka.
Saluran Maklumat Alternatif Selain Laman Web Rasmi PDRM
FB
PDRM telah dilancarkan pada 21 September 2010 sebagai satu aktiviti
kemasyarakatan PDRM yang unik bersama masyarakat dan menerusi alam
siber, ianya juga bertindak sebagai wadah merapatkan jurang komunikasi
dan mengikis persepsi negatif terhadap PDRM.
Ia juga bertindak
sebagai satu platform bagi menunjukkan bahawa PDRM mengambil langkah
serius bagi menambahbaik perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.
Dengan
berkonsepkan secara bersemuka dengan pengguna internet yang mendaftar
sebagai rakan FB PDRM, ia terbukti berkesan menemukan peminat Facebook
dalam FB PDRM dengan pucuk pimpinan PDRM sambil menyampaikan amanat,
pesanan atau berkongsi pengalaman.
Lahirnya Twitter PDRM
Hari
ini juga menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam kalendar PDRM
dengan tertubuhnya Twitter PDRM yang juga merupakan kesinambungan idea
dan implementasi PDRM untuk mewujudkan jaringan komunikasi berterusan
dengan masyarakat.
Secara ringkasnya, Twitter adalah medium
komunikasi yang besar selain dapat membangunkan hubungan bisnes, ia
merupakan medium yang dapat mempromosikan sesawang, blog serta media
sosial yang lain seperti Facebook dan Youtube.
Dalam usaha
meningkatkan imej pasukan dan meletakkan PDRM sebagai organisasi yang
mesra pelanggan melalui alam siber, Twitter merupakan antara platform
media sosial yang dapat digunakan bagi menyalurkan maklumat atau hebahan
terus kepada masyarakat dengan cepat, tepat dan ringkas.
Dalam
pada itu, Twitter Rasmi PDRM ini akan menjadi medium untuk
mengetengahkan berita semasa PDRM seperti kejayaan tangkapan, program
bersama rakyat serta kenyataan atau siaran media oleh pucuk pimpinan
PDRM.
Selain itu, hebahan umum seperti aktiviti PDRM yang akan
dan sedang diadakan juga bakal disampaikan melalui Twitter kepada
pengikut-pengikutnya.
Di samping itu juga, kesesakan lalu lintas
secara harian terutama ketika waktu puncak di laluan-laluan utama
seluruh Malaysia juga akan di'tweet' dalam Twitter PDRM ini.
"Saya
berharap pertemuan kita pada petang ini akan meninggalkan kenangan
manis kepada para peminat PDRM. Pada petang yang bersejarah ini juga,
saya ingin menyeru peminat-peminat FB PDRM untuk menjadi mata dan
telinga kepada PDRM untuk menyampaikan kepada saudara mara dan rakan
taulan yang belum lagi menjadi peminat FB PDRM untuk menyertai kita.
Sebagai peminat kepada FB PDRM, anda dapat banyak maklumat secara telus
dan pantas. Banyak informasi dan tips keselamatan yang berguna akan
disalurkan di dalam FB PDRM dan Twitter kepada peminat dari masa ke
semasa di samping merapatkan hubungan silatulrahim antara polis dan
masyarakat dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan negara yang kita
cintai ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada segala 'feedback' yang telah diberikan oleh anda semua melalui facebook. Feedback ini berguna untuk membolehkan kami berusaha menambahbaik perkhidmatan PDRM," akhiri Ketua Polis Negara dalam ucapannya.
Turut
hadir, YDH DIG Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis
Negara, YDH Pengarah-Pengarah PDRM, YDH DCP Dato' Ghazali bin Md. Amin,
Setiausaha Polis Malaysia, Timbalan-timbalan Pengarah PDRM,
Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan jemputan-jemputan khas.




Pendaftaran jemputan khas...peminat-peminat Facebook Polis Diraja Malaysia
Gambar Kenangan di Sudut Bergambar Facebook PDRM

















Ketibaan YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur

Ucapan oleh YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara

Persembahan yang menghiburkan oleh adik Amelia Lee...




Gimik Pelancaran Twitter PDRM...






Seramai 8 orang telah terpilih menerima hadiah khas 'Slogan Terbaik Ulang Tahun Facebook PDRM'.

Upacara potong Kek 'Ulang Tahun Pertama Facebook PDRM'...










Jamuan Makan...






Sesi ramah mesra pucuk pimpinan PDRM bersama peminat Facebook PDRM...

Sidang Media oleh YDH Ketua Polis Negara


Sesi Bergambar bersama peminat-peminat Facebook PDRM di Lobi Maktab PDRM Kuala Lumpur
Wartawan : L/Kpl Irfan Bujang
Jurufoto : L/Kpl Mohd Shareel Shahriman, L/Kpl Edwind Indo, L/Kpl Mohd Helmi Saadin dan L/Kpl Fansus Jangor
Penyunting : Sjn Zaiddin Dahalan