Tumpasnya Sindiket Penjualan Bayi Di Lembah Klang
BUKIT AMAN - 18 JANUARI 2011
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia, YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri Bin Zinin telah mengadakan satu sidang akhbar berkenaan kejayaan pihak JSJ D7 Unit ATIP Bukit Aman dalam pembanterasan sindiket penjualan bayi di sekitar Lembah Klang. Berucap semasa sidang akhbar JSJ di Dewan Theatrette Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, beliau menyatakan kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Ekoran daripada maklumat yang diperolehi, beliau memaklumkan pihak JSJ D7 telah membuat beberapa serbuan antaranya di perkarangan tempat letak kereta di Pasaraya Tesco Ampang, klinik swasta di Pusat Bandar Utara Selayang dan klinik swasta di kawasan Subang Jaya. Hasil daripada serbuan-serbuan tersebut, 9 tangkapan telah dibuat yang mana terdiri daripada 8 orang perempuan (4 orang warga tempatan dan 4 orang warganegara asing) dan 1 orang lelaki warga tempatan. Hasil daripada serbuan itu juga, 6 orang mangsa telah berjaya diselamatkan iaitu 3 orang bayi, 2 orang ibu yang sarat mengandung dan seorang ibu kepada bayi yang diselamatkan.
Hasil siasatan mendapati bayi yang dijual di antara RM15 ribu hingga RM20 ribu seorang bergantung kepada kesihatan dan rupa paras bayi tersebut. Kesemua tangkapan dalam tahanan reman sehingga 22/01/2011 dan mangsa masih lagi menerima rawatan dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur.
Susulan kejayaan itu, pihak polis juga telah merampas wang tunai, peralatan pemalsuan dokumen, rubber stamp, telefon bimbit, dokumen laporan perubatan, dan kunci kenderaan yang digunakan oleh sindiket tersebut.
YDH CP Datuk Seri Mohd
Bakri Bin Zinin turut menyeru kepada mana-mana pasangan yang ingin
mengambil anak angkat supaya mengikut saluran dan prosedur yang telah
ditetapkan oleh undang-undang. Mana-mana pihak atau orang awam yang
mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penjualan bayi dan
pemerdagangan manusia, sila salurkan kepada mana-mana balai polis yang
berhampiran.

Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia, YDH CP Datuk Seri
Mohd Bakri Bin Zinin berucap semasa sidang media di Bukit Aman..

Antara barang-barang rampasan..

Antara jemputan media yang hadir semasa sidang media..
WARTAWAN : KONST NORLIZA BT BASRAH
JURUFOTO : KONST RAYMOND MARTIN
PENYUNTING : INSP MD ARUWAN MD AMILAH