Tumpas Pengedaran Dadah Bernilai 7juta
Wartawan/Jurufoto : L/Kpl Santher Kumar A/L Sehgar
BUKIT AMAN, 3 Ogos - "Hasil
bantuan maklumat orang ramai dan usaha berterusan PDRM dengan rampasan
dadah bernilai RM7 juta berjaya membanteras kegiatan sindiket pengedaran
dadah antarabangsa dari negara Iran dan juga Afrika Barat terutamanya
warganegara Nigeria yang terus menjadikan malaysia sebagai transit
kegiatan pengedaran dadah mereka ", ujar YDH CP Datuk Noor Rashid bin
Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman semasa
mengendalikan sidang media JSJN di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit
Aman, pagi ini.
Kejayaan pertama, pada 27 Ogos 2012, JSJN Bukit Aman menangkap seorang perempuan warganegara Nigeria di KLIA, Sepang, Selangor. Hasil tangkapan, JSJN Bukit Aman berjaya merampas 5 bungkusan dadah jenis syabu seberat 1.38kg yang disorokkan pada ruangan beg yang diubahsuai dan lapisan seluar dalam yang dipakai.
Kejayaan kedua, pada 28 Ogos 2012, JSJN Bukit Aman di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Iran dengan rampasan dadah Jenis Syabu seberat 1.41Kg yang disorokkan dalam 6 tin penyembur.
Kejayaan ketiga, pada 28 Ogos 2012, JSJN Bukit Aman di lobi sebuah apartment di Damansara Perdana telah menangkap seorang lelaki warganegara Nigeria dan seorang perempuan warganegara Zambia dengan rampasan sebuah beg plastik berisi 4 paket plastik dadah jenis Syabu seberat 2.9kg. Pihak polis turut menahan 2 lelaki warganegara Nigeria di Damansara dan Puchong, Selangor yang bersangkut dengan rampasan ini.
Kejayaan keempat, pada 31 Ogos 2012, JSJN Bukit Aman di sebuah Apartment di Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur, telah menangkap seorang lelaki warganegara Nigeria dan merampas 26 bungkusan plastik dadah jenis Syabu seberat 26.8kg serta 17 bungkusan plastik dadah Heroin seberat 16.9kg yang dijumpai dalam 4 buah beg pakaian.
Tindakan susulan pada 1 September 2012 lalu, pihak polis telah menangkap 2 lagi ahli sindiket iaitu seorang lelaki warganegara Nigeria dan seorang perempuan India tempatan di sebuah rumah di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kesemua suspek yang berumur di antara 25 hingga 38 tahun telah ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan. Pihak Polis turut membuat sitaan terhadap harta kepunyaan sindiket berupa 2 buah kenderaan mewah Model BMW dan Toyota Camry. Jumlah nilai harga pasaran kesemua rampasan dadah adalah dianggarkan bernilai RM7 Juta.
YDH Datuk Noor Rashid Bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) ketika sidang media.
Antara hasil rampasan...
YDH Pengarah JSJN bersama Pegawai Penyiasat menunjukkan hasil rampasan.
Antara wartawan yang hadir.