Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Tujuh Premis Diserbu 100 Peralatan Judi Dirampas Di Petaling Jaya

Diterbitkan: 10 Nov 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kira-kira 100 peralatan judi dirampas dalam Op Dadu di tujuh premis di sekitar Taman Sri Manja, Petaling Jaya dekat sini, semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tujuh-premis-diserbu-100-peralatan-judi-dirampas-di-petaling-jaya
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 16:48 MYT

Kuala Lumpur, 10 Nov - Kira-kira 100 peralatan judi dirampas dalam Op Dadu di tujuh premis di sekitar Taman Sri Manja, Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Operasi bersepadu selama empat jam bermula 5.30 petang itu disertai 37 pegawai dan anggota unit D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Pegawai Turus D7 Selangor DSP Abd Ghofar Ahmad berkata pihaknya melakukan intipan selama sebulan sebelum membuat serbuan ke atas premis berkenaan.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat pada serbuan ini, penjaga premis berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Kami mendapati premis judi seperti ini dikawal oleh 'tonto'. Selain
komputer kami turut rampas empat unit modem," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kawasan berkenaan merupakan tumpuan kaki judi kerana lokasinya yang strategik, menyukarkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Abd Ghofar meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat aktiviti perjudian di kawasan mereka.

"Semua pihak termasuk badan bukan kerajaan perlu bersama-sama membanteras kegiatan ini dan jangan takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membawa hukuman kepada pemilik premis berupa denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, polis turut menahan 15 individu dan merampas 214 mesin judi 
dalam Ops Dadu di lokasi berasingan sekitar Kota Warisan, Salak Tinggi dan
Sepang, Selangor, semalam.

Sebanyak enam premis diserbu dalam operasi pada pukul 6 petang oleh anggota Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7)
Bukit Aman Datuk Roslee Chik berkata individu berusia 20-an hingga 40-an terdiri daripada pekerja premis dan pelanggan berjaya ditahan.

"Mereka terdiri daripada warganegara Indonesia dan warga tempatan. Wang
tunai sebanyak RM2,000 turut dirampas," katanya ketika dihubungi Bernama di
sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun
Twitternya mengucapkan syabas kepada STAGG kerana berjaya mengekang kegiatan itu.

"Syabas lagi STAGG @PDRMsia, tadi gempur aktiviti di Salak Tinggi Sepang.
Tangkap 15 orang rampas 214 komputer judi. Go PDRM Go," katanya. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 10 Nov 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM