Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Ibu Tunggal Antara 41 Individu Dicekup Terlibat Judi Atas Talian Di Jb

Diterbitkan: 10 Nov 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Ibu tunggal antara 41 individu ditahan polis kerana terlibat dengan judi atas talian dalam dua serbuan di premis berasingan di Jalan Sri Bahagia 10, Taman Sri Bahagia, malam semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/ibu-tunggal-antara-41-individu-dicekup-terlibat-judi-atas-talian-di-jb
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 21:10 MYT

Johor Bahru, 10 Nov - Ibu tunggal antara 41 individu ditahan polis kerana terlibat dengan judi atas talian dalam dua serbuan di premis berasingan di Jalan Sri Bahagia 10, Taman Sri Bahagia, malam semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamarul Zaman Mamat berkata pada serbuan pertama pada pukul 7 petang itu, kesemua 17 pemain sedang leka bermain judi tanpa menyedari kehadiran pihak polis.

"Mereka terdiri daripada 13 lelaki dan empat orang wanita termasuk seorang ibu tunggal yang ketagih judi atas talian ini. Seorang daripada lelaki yang ditahan merupakan penjaga tempat itu," kata beliau ketika ditemui pemberita awal pagi tadi.

Di premis kedua pula, pihaknya menahan 24 lelaki termasuk seorang penjaga berusia 51 tahun, sedang asyik dengan aktiviti haram itu.

"Hasil daripda kedua-dua serbuan itu, pihak kami merampas 62 buah komputer riba serta wang tunai sebanyak RM1,277 yang disyaki digunakan dalam pertaruhan judi atas talian berkenaan," kata beliau.

Mereka semua kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, menerusi Op Noda, awal pagi ini, pihak polis 
menahan seramai 16 wanita warganegara Cina yang disyaki bekerja sebagai pekerja pelayan pelanggan (GRO) di premis hiburan dalam sebuah hotel, Jalan Harimau, tengah malam tadi.

"Serbuan pada pukul 12.45 tengah malam itu, pihak kami memeriksa kira-kira 27 orang perempuan China berada dalam premis hiburan itu dengan 16 daripadanya gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah," kata Kamarul Zaman.

Selain itu, polis turut menahan seorang pengurus lelaki berusia 30-an di premis berkenaan bagi membantu siasatan.

Kamarul Zaman berkata kesemua wanita itu yang berumur antara 19 dan 20-an kini ditahan di IPK Johor untuk siasatan lanjut.

Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 55B (1) A, Seksyen 6(1)(c)

Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor 4/98 - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 10 Nov 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM