Tindakan Tegas Terhadap Penyokong Yang Melanggar Peraturan
Bukit Aman - 27 Oktober 2010. "Penyokong kedua-dua pasukan, Negeri Sembilan dan Kelantan diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan untuk mencetuskan kekecohan atau pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas semasa Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 30 Oktober, 2010 ini", kenyataan YDH CP Dato' Khalid Abu Bakar, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) mengenai isu keselamatan penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam Sidang Media di Dewan Theatrette, Bukit Aman.
Perbincangan antara pihak polis, FAM dan pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil telah memutuskan untuk tidak membenarkan minuman botol dijual dan dibawa masuk ke dalam stadium selain barang-barang larangan seperti bunga api dan mercun. Kawalan keselamatan juga dipertingkatkan dengan meletakkan anggota keselamatan di setiap laluan masuk. Anjing Pengesan Polis (K9) turut diletakkan di kawasan-kawasan tertentu bagi memastikan barangan terlarang tidak dibawa masuk ke dalam stadium.
Bagi memastikan perjalanan perlawanan berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku, pasukan RELA dan pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil akan bersama-sama PDRM mengawal keselamatan di Stadium Nasional Bukit Jalil
Nada ketegasan PDRM di dalam isu keselamatan tetap menjadi keutamaan namun disebaliknya, YDH CP Dato' Khalid menyeru penyokong-penyokong bola sepak tanah air untuk menyaksikan perlawanan tersebut dalam suasana yang menyeronokkan dengan semangat kesukanan yang tinggi. Beliau turut menasihati penyokong-penyokong yang datang dari jauh supaya berhati-hati di jalan raya dan jangan jadikan Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan berakhir dengan tragedi.