
Artikel
Timbalan Kpn Sampaikan Empat Pesan Penting Di Hadapan Hampir 1 000 Mahasiswa Unishams
Baling, 22 Julai 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay tengahari tadi berkesempatan bertemu dan seterusnya...
Baling, 22 Julai 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay tengahari tadi berkesempatan bertemu dan seterusnya menyampaikan ceramah bertajuk 'Kenali Potensi Mantap Kendiri' di hadapan hampir 1,000 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS), dekat sini, dengan berkongsi empat pesan penting.
Terkenal sebagai seorang individu yang tegas dalam memerangai isu rasuah dalam Pasukan, Datuk Seri Ayob Khan mengambil kesempatan mengingatkan para mahasiswa untuk menghindar budaya menerima atau memberi rasuah yang akhirnya boleh membawa kepada kemusnahan diri sendiri.
Anak jati Pendang itu turut menasihatkan para mahasiswa agar dapat menggunakan kuasa yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa dengan penuh adil dan telus apabila mencapai tahap tertinggi dalam apa jua karier yang mereka pilih selepas bergraduasi kelak.
Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri kerjasama PDRM dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah itu tadi turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Tuan Hj. Shafruddin Hj. Ali Hussin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNISHAMS, Dr. Rohani Desa.
Selain mahasiswa UNISHAMS, ceramah itu turut dihadiri pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Kedah serta warga kerja KPM.
Seusai program tersebut, Datuk Seri Ayob Khan mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasmikan program Malaysia Madani yang disusuli dengan pelbagai acara menarik dan ilmiah.
Menerusi program rakyat itu juga, Datuk Seri Saifuddin Nasution berbesar hati menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 38 pelajar sekolah yang cemerlang dalam bidang akademik masing-masing.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Datuk Aidi Ismail, Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Fisol Salleh bersama timbalannya, DCP Datuk Abu Samah Mohd Noor dan barisan Ketua Jabatan serta Ketua Polis Daerah Kontinjen Kedah.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.