Artikel
Timbalan Kpn Penuhi Undangan Panel Sembang Santai Malaysia Madani
Putrajaya, 21 Mei 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan sebagai ahli panel dalam ‘podcast’...
Putrajaya, 21 Mei 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan sebagai ahli panel dalam ‘podcast’ Sembang Santai CAKNA Kenegaraan (CAK!) yang diadakan di Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, pagi tadi.
Antara intipati yang dikupas oleh Dato’ Sri Ayob Khan dalam wadah perbincangan lebih satu jam itu menekankan pemantapan integriti melalui tatakelola yang baik khususnya dalam kalangan penjawat awam yang perlu dititik beratkan dalam menjamin keselamatan sosial negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata integriti bukan sekadar mengekang jenayah rasuah malah turut merangkumi amalan budaya kerja cemerlang.
“Selaku penjawat awam yang merupakan pelaksana dalam sesebuah organisasi hendaklah sentiasa cakna dengan visi dan misi yang digariskan oleh kerajaan,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebuah institusi penguatkuasaan utama negara akan sentiasa berpegang teguh memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara terpelihara.
Hadir sama menyaksikan temu bual tersebut adalah para pegawai kanan PDRM dan AKM.