
Artikel
Timbalan Kpn Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Permuafakatan Pdrm Bersama Kpm
TIMBALAN KPN PENGERUSIKAN MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK PERMUAFAKATAN PDRM BERSAMA KPM
Melaka, 20 Oktober 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Tahun 2022, di Hotel Imperial Heritage, di sini.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti JPJKK PDRM itu turut dihadiri oleh pengarahnya, CP Dato' Aidi Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Dr. Norisah Suhaili.
Selain bertukar-tukar idea dan kaedah untuk mencari noktah penyelesaian berkaitan kegiatan jenayah melibatkan para pelajar, mesyuarat tersebut juga membincangkan pendekatan efektif pihak berkuasa dalam menangani kes penyalahgunaan dadah di sekolah.
Berucap dalam mesyuarat tersebut, Tan Sri Razarudin menzahirkan komitmen tinggi PDRM untuk membantu KPM mewujudkan suasana sekolah yang selamat dalam kalangan para pelajar menerusi peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang dilantik.
"PPS yang dilantik berperanan membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat, dengan menjalankan tanggungjawab sepertimana yang digariskan termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan jika perlu, melakukan lawatan secara berjadual, serta hadir memberikan ceramah mengenai hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.
"PPS juga akan sentiasa memantau murid-murid yang terlibat dengan salah laku dan masalah disiplin," ujar beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Penggubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM Bukit Aman, DCP Dato' Mumammed Hasbullah Ali, barisan Ketua Penolong Pengarah JPJKK Bukit Aman, Ketua JPJKK dari seluruh Kontinjen PDRM dan barisan pengarah pendidikan negeri.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.