
Article
Timbalan Kpn Mula Lawatan Kerja Ke Melaka Santuni Pesara Dan Asnaf Pdrm
Melaka, 18 Oktober 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, memulakan lawatan kerja dua hari ke Kontinjen Melaka den...
Melaka, 18 Oktober 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, memulakan lawatan kerja dua hari ke Kontinjen Melaka dengan menyantuni 40 penerima sumbangan bakul makanan terdiri daripada 20 pesara dan 20 asnaf warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ianya merupakan kali pertama beliau turun ke Bandaraya Bersejarah itu sebagai Timbalan KPN selepas dilantik pada 25 Jun lalu.
Timbalan KPN tiba di Balai Polis Malim pada jam 9.00 pagi dengan diringi Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali dan timbalannya, SAC Datuk Razali Abu Samah serta Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Tuan Afzanizar Ahmad.
Beliau yang turut meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dengan kesemua penerima sumbangan, sempat mengabadikan kenangan bergambar bersama pucuk pimpinan Polis Melaka sebelum mengadakan sidang medianya di sana.
Selepas majlis sumbangan itu, Datuk Seri Hj. Mazlan mengadakan lawatan kebajikan ke atas keluarga bekas anggota Balai Polis Tengkera yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, Allahyarham Lans Koperal Mohd Zaini Mahat di Taman Limbungan Permai dan Koperal Romainor Sulaiman yang menderita sakit saraf sejak lima tahun lalu di Bukit Katil, di sini.
Di sebelah petangnya, Datuk Seri Hj. Mazlan ditaklimatkan mengenai persediaan pilihan raya negeri (PRN) dan keadaan semasa dalam negeri Melaka oleh Datuk Wira Abdul Majid, secara tertutup di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Turut diadakan ialah Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintendan Tuan Zulkiflee Hj. Rashid atas kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan dengan rampasan 83 kilogram (kg) Syabu dan lebih 59kg pil Ekstasi berjumlah lebih RM7 juta pada 31 Mei lalu.
Datuk Seri Hj. Mazlan juga dijadualkan memantau keadaan persisir pantai dan perairan negeri Melaka pada keesokan harinya.
Hadir sama dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling), DCP Tuan Sulaiman Yahaya, SAC Hal Ehwal Pesara, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Tuan Soaihaimi Rahim dan Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Kamaruzaman Abdullah.
Jurugambar: Koperal Muhammad Rafsamjani Shamsul Bahar dan Lans Koperal Shazril Abd Rashid
















