
Article
Tilawah Al Quran Pdrm Peringkat Bukit Aman Perkukuh Jati Diri Dan Integriti Warga Pasukan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh pembangunan rohani dan sahsiah warga pasukan menerusi penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bukit Aman T...
Kuala Lumpur, 5 November 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh pembangunan rohani dan sahsiah warga pasukan menerusi penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bukit Aman Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Masjid Bukit Aman, petang tadi.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang turut meluangkan masa bersama warga Pasukan dalam program berteraskan penghayatan al-Quran itu.
Ketibaan beliau di pekarangan masjid telah disambut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Rusdi Mohd Isa dengan diiringi oleh Timbalan Pengarah (Agama & Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Datuk Azhan Abdul Halim yang mewakili Pengarah JIPS, CP Dato’ Hamzah Hj. Ahmad.
Sebanyak 22 peserta terdiri daripada 11 Qari dan 11 Qariah mewakili pelbagai jabatan menyertai pertandingan anjuran JIPS dengan kerjasama Masjid Bukit Aman yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap al-Quran serta memperkukuh sahsiah dan rohani warga PDRM.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid sebelum diteruskan dengan pengumuman keputusan pertandingan oleh Jemaah Hakim yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman, SAC Mohd Zakarim Abdullah @ Zakaria.
Bagi kategori Qari, Sarjan Mejar Razlee @ Roslee Asmat dari JIPS dinobatkan sebagai johan, diikuti naib johan, ASP Mohd Tarmizi Abdul Satar dari JSJK, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Lans Koperal Detektif Mohd Faaizuun Abd Salam dari Jabatan Siasatan Jenayah.
Sementara itu, bagi kategori Qariah, Inspektor Nurshamimi Ismail dari Cawangan Khas muncul sebagai johan, diikuti naib johan pula dimenangi oleh ASP Kamsiah Kasmuddin dari Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti serta tempat ketiga, ASP Siti Farah Halina Mohd Redzuan dari JIPS.
Para hadirin kemudiannya berpeluang menghayati bacaan al-Quran oleh johan Qari dan Qariah yang memperdengarkan alunan ayat suci dengan penuh tertib, penghayatan serta keindahan seni tarannum.
Dalam majlis tersebut, KPN turut menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada para pemenang yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 bagi johan, RM750 bagi naib johan dan RM500 bagi tempat ketiga, beserta hadiah iringan, mashaf al-Quran serta sijil penyertaan.
Majlis yang penuh keberkatan ini menjadi manifestasi usaha berterusan PDRM dalam membentuk warga kerja berakhlak mulia, berdisiplin dan beramanah, seiring dengan nilai Islam sebagai asas kekuatan rohani Pasukan.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, CP Dato' Fisol Salleh, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Kamaruzaman Abdullah, para pegawai kanan dan kariah Masjid Bukit Aman.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.




















