Tiga Suspek Ditahan Termasuk Teman Wanita Mangsa Tembak
Nibong
Tebal, 22 Jan - Polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita warga
Thailand bagi membantu siasatan kes seorang lelaki cedera parah
ditembak di hadapan sebuah rumah di Taman Sintar Indah, Jawi di sini,
Isnin lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata wanita
berusia 30-an yang dipercayai teman wanita mangsa tembak itu ditahan
pukul 3 pagi semalam di sebuah rumah di Nibong Tebal di sini.
"Wanita
itu bersama mangsa dari Banting, Selangor ke negeri ini dan ketika
kejadian tembak itu berlaku dia (wanita) berkenaan berada di bahagian
garaj rumah dan sedang berbual dengan pemilik kediaman tersebut,"
katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Katanya
dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di Banting lewat
petang semalam dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang
Perai Selatan (SPS), di sini bagi membantu siasatan.
Beliau
berkata berdasarkan siasatan awal dua lelaki berkenaan mengenali mangsa
dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian tembak itu berpunca
daripada dendam.
Mazlan berkata kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA