Artikel
Tiga Pelajar Nigeria Anggota Sindiket Pengedaran Dadah Ditah
Tiga pelajar kolej warganegara Nigeria yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu d...
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata dalam operasi khas yang dibuat hasil maklumat orang awam pada pukul 5.30 petang itu, polis merampas 1,500 gram bahan ketulan jernih yang disyaki dadah jenis Syabu yang dianggarkan bernilai RM300,000.
"Ketiga-tiga suspek itu merupakan pelajar di sebuah kolej dan dua daripada mereka tinggal di Malaysia selama tiga tahun dan seorang lagi, enam bulan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.
Kang berkata ketiga-tiga suspek didapati positive Methamphetamine.
Katanya suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau juga berkata jumlah dadah yang berjaya dirampas sepanjang tahun ini adalah bernilai RM2 juta, antaranya tujuh kilogram dadah jenis Syabu dan tiga kilogram dadah jenis heroin.
Kang berkata aliran pengedaran dadah kini juga sudah berbeza.
"Tahun lepas kita dapat merampas dadah jenis ganja dan kini trendnya berlainan sikit. Kita dapati dadah jenis heroin dan syabu berleluasa sekarang," tambah beliau.
Kang juga berkata sebanyak 90 peratus warga Nigeria yang terlibat dalam pengedaran dadah merupakan pelajar.