Tiga Lelaki Samun Kedai Telefon Ditahan Dua Jam Kemudian
Nibong
Tebal, 18 Jun - Tidak sampai dua jam menyamun sebuah kedai telefon di
Sungai Bakap di sini, tiga daripada empat penyamun berkenaan berjaya
diberkas polis ketika mereka sedang bersembunyi di sebuah rumah teres
dua tingkat di Taman Impian Jaya, Bukit Mertajam dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien
Mamat berkata hasil tindakan pantas, polis berjaya menjejaki kumpulan
penyamun terbabit di rumah berkenaan dan menahan dua lelaki pertama di
ruang tamu pada pukul 4.10 petang.
Katanya
lelaki ketiga ditahan 20 minit kemudian ketika bersembunyi di bahagian
bumbung kediaman itu manakala rakannya berjaya melarikan diri dengan
sebuah motosikal.
"Kumpulan
penjenayah itu menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit di pekan
Sungai Bakap pada pukul 2.45 petang sebelum melarikan diri menggunakan
sebuah Proton Waja.
"Ketika
melarikan diri anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah mengesan
kenderaan tersebut dan mengejarnya sehingga ke kawasan taman perumahan
itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi kedai yang
disamun," katanya kepada pemberita di sini.
Shafien
berkata kumpulan penjenayah itu meninggalkan kereta Proton Waja
berkenaan di sebuah flat iaitu 200 meter dari rumah teres, tempat mereka
bersembunyi.
Katanya
dalam serbuan itu polis turut menemui beberapa buah telefon bimbit yang
dipercayai baru disamun kumpulan penjenayah berkenaan.
Beliau
berkata polis percaya kumpulan penjenayah itu turut terlibat dalam satu
lagi kejadian samun di sebuah kedai menjual buku di Sungai Bakap pada
pukul 10.50 malam tadi berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada
pemilik kedai berkenaan.
"Kita
percaya kedua-dua kes samun berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan
penjenayah yang baru kita tahan itu, siasatan lanjut termasuk mengesan
seorang lagi suspek yang telah melarikan diri giat dijalankan.
"Polis
juga akan menjalankan siasatan bagi mengesan sama ada pemilik rumah
teres ini mempunyai hubungan dengan kumpulan penjenayah ini," katanya.
Shafien berkata polis turut menemui pelbagai aksesori telefon dan topi penutup muka yang dipercayai digunakan untuk menyamun.
Sumber : BERNAMA