Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Tiga Lelaki Menyamar Polis Di Tahan Ketika Menyamun

Diterbitkan: 16 Jun 2014 1.08 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Mereka mendakwa mangsa adalah pengedar dadah sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta Perodua MyVi. Seorang suspek memakai vest polis, seorang memakai T-shirt polis dan dua lagi berpakaian bias..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-lelaki-menyamar-polis-di-tahan-ketika-menyamun
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 21:47 MYT

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2010 -- Tiga lelaki termasuk seorang yang dikehendaki polis ditahan kerana menyamar sebagai polis ketika menyamun seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Muda, Ampang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata mereka bersama seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri, dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di sekitar daerah itu sejak tiga bulan lepas.

Bercakap pada sidang media di sini hari Rabu, beliau berkata dalam kejadian pukul 9 malam itu, kumpulan terbabit menahan seorang lelaki dan mengaku mereka polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

"Mereka mendakwa mangsa adalah pengedar dadah sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta Perodua MyVi. Seorang suspek memakai vest polis, seorang memakai T-shirt polis dan dua lagi berpakaian biasa serta mengaku mereka detektif dari IPKKL," katanya.

Bagaimanapun, gelagat kumpulan lelaki itu diperhati oleh jiran mangsa yang kemudian menghubungi polis dan pihaknya tiba lima minit kemudian, kata Abdul Jalil.

Katanya ketika diperiksa kumpulan terbabit gagal menunjukkan kad kuasa dan menyebabkan mereka ditahan.

"Ketika ditahan, berlaku pergelutan antara suspek dan polis menyebabkan seorang daripada mereka berjaya melarikan diri," katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta Perodua MyVi itu, polis menemui antaranya pisau rambo, gari, dua komputer riba dan 10 telefon bimbit, kata beliau.

"Dipercayai kereta itu juga adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang awal tahun ini," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 34 dan 42 tahun itu mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya berada dalam senarai dikehendaki.

Polis kini giat memburu seorang lagi lelaki, selain percaya penahanan kumpulan tersebut menyelesaikan 23 kes samun di Ampang, katanya

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 1.08 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM