Tiga Lelaki Geng Samun Bersenjata Api Ditahan
George
Town, 13 Jan - Polis menumpaskan satu kumpulan samun menggunakan
senjata api apabila menahan tiga lelaki, kira-kira setengah jam selepas
menyamun sebuah rumah di Jalan Tasek, Sungai Bakap dekat sini semalam.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata tiga
lelaki berusia antara 28 hingga 30 tahun itu ditahan pada pukul 6 pagi
selepas menyamun rumah pemilik kilang memproses makanan.
"Dalam
kejadian 5.30 pagi itu, seorang daripada anggota keluarga pemilik
kilang berkenaan terdengar bunyi kereta berhenti di hadapan rumah mereka
dan nampak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk melalui
belakang kediaman berkenaan.
"Lelaki
itu sempat menelefon adik iparnya supaya memaklumkan kepada polis
sebelum tiga suspek yang masing-masing bersenjatakan sepucuk pistol,
parang dan kapak ternampaknya dan mengugut supaya menyerahkan wang tunai
dan barang kemas jika tidak mahu dicederakan," katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Beliau
berkata mangsa yang risaukan empat anggota keluarganya yang sedang
tidur di bilik masing-masing menyerahkan wang tunai dan barang kemas
yang kesemuanya bernilai RM30,000 sebelum tiga penyamun berkenaan
melarikan diri.
Mazlan
berkata hasil tindakan pantas orang awam yang menyalurkan maklumat,
polis berjaya mengesan tiga lelaki terbabit dan menahan mereka di lokasi
berasingan.
Lelaki
pertama di tahan di kawasan kebun nanas belakang rumah mangsa, seorang
lagi ditahan di kawasan kebun kelapa sawit bersama barang kemas dan wang
tunai yang disamun manakala suspek ketiga ditahan di Kampung Seberang
Tasek iaitu lima kilometer daripada rumah mangsa bersama kereta jenis
Vios yang dilarikannya.
Beliau
berkata dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan curi,
samun dan dadah manakala seorang lagi dikehendaki polis berhubung kes
penipuan di Selangor.
"Polis
menemui semula semua barang yang disamun mereka dan kami turut merampas
sepucuk pistol semi automatik jenis Walther PPK berisi tujuh butir
peluru, parang, kapak dan pelbagai peralatan pecah rumah," katanya.
Mazlan berkata tiga lelaki yang berasal dari Selangor dan Pahang itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Beliau
berkata berikutan itu, polis memburu seorang lagi rakan mereka Lo Chi
Yong, 30, juga dikenali sebagai 'Ah Yong' beralamat terakhir di Taman
Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan No 17 Jalan NB 27/5, Nusa
Bistari, Johor, bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA