Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Dalam Sindiket Curi Kereta Mewa
Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Dalam Sindiket Curi Kereta Mewah Diberkas
Muar,
15 April - Polis memberkas tiga lelaki dipercayai anggota sindiket curi
kereta mewah selepas mengejar mereka sejauh tiga kilometer di Jalan
Pintas Muar di sini, Khamis lepas.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Muar Superintenden Shahadan Jaafar berkata sebuah
kereta peronda polis bertindak mengejar suspek yang menaiki BMW X5
selepas menerima aduan pada kira-kira 9 pagi.
"Ketiga-tiga
suspek yang berumur 25 hingga 43 tahun itu terdahulu dipercayai cuba
mencuri sebuah kereta BMW kepunyaan seorang gadis di tepi Jalan Abdul
Rahman di sini. Sejurus ternampak kereta polis, mereka terus melarikan
diri dengan kereta BMW X5 itu ke arah Jalan Pintas Muar sebelum polis
memintas dan menahan mereka," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau
semua suspek berasal dari ibu negara dan pemeriksaan mendapati BMW X5
itu adalah kenderaan yang dilapor hilang di Petaling Jaya, Selangor pada
6 April lepas.
Katanya,
ketiga-tiga lelaki yang mengaku terlibat dalam beberapa kes curi kereta
mewah di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan lain kini ditahan reman
sehingga 17 April.
Dalam
kes lain, Shahadan berkata polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan
seorang pengimpal yang mayatnya ditemui dibungkus dengan kain selimut di
kebun kelapa sawit di Bukit Pasir baru-baru ini berikutan penahanan
empat lelaki antara 29 Mac dan 12 April lepas.
Beliau
berkata suspek pertama yang berusia 25 tahun, ditahan dekat Pontian
pada 29 Mac lepas manakala suspek kedua, juga 25 tahun, diberkas di
sebuah rumah di Larkin, Johor Baharu pada 2 April lepas.
"Hasil
maklumat daripada kedua-dua suspek, polis kemudian menahan seorang
lelaki berusia 27 tahun pada 5 April lepas di Pagoh dan seorang lagi
lelaki berumur 22 tahun di Pasir Gudang, Johor Baharu pada 12 April
lepas," katanya.
Shahadan
berkata polis kini mengesan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun yang
dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.- BERNAMA