Tiga Lelaki Diberkas Selepas Sejam Menyamun
Shah
Alam, 13 Jun - Tiga lelaki yang baru menyamun kira-kira 20 pelanggan
dan pemilik sebuah restoran steambot di Kampung Melayu Subang dekat sini
pada Selasa lepas, tidak sempat menikmati hasil samun mereka apabila
ditahan polis kira-kira sejam kemudian.
Pemangku
Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata dalam kejadian
kira-kira 1 pagi itu, seramai enam lelaki bersenjatakan parang dan rotan
yang menaiki dua buah kereta menyamun wang dan barangan pelanggan dan
pemilik restoran berkenaan membabitkan kerugian bernilai RM6,350.
Bertindak
atas maklumat, katanya sebuah MPV polis kemudian dapat mengesan dan
berjaya menahan kereta Proton Persona dan Proton Wira dinaiki penjenayah
terbabit di Sungei Way, Petaling Jaya dekat sini sejam kemudian.
"Polis
berjaya menahan tiga suspek lelaki berumur 18 dan 16 tahun yang berada
dalam kereta Wira manakala tiga suspek lagi yang berada dalam kereta
Persona dapat melarikan diri.
"Pemeriksaan
mendapati kereta Wira dan Persona itu dilaporkan hilang di Jinjang,
Kuala Lumpur dan Sunway, Petaling Jaya. Turut ditemui barangan milik
mangsa yang disamun di restoran steambot itu.
"Sebelum
kejadian di restoran berkenaan, suspek dipercayai terlibat dalam
kejadian samun di Petaling Jaya," katanya dalam sidang media di sini
hari ini.
Thaiveegan
berkata siasatan mendapati kumpulan lelaki terbabit terlibat dalam
empat kes samun di restoran serta kedai mamak di sekitar daerah Sungai
Buloh, Petaling Jaya dan Cheras dalam tempoh empat bulan ini.
Beliau berkata dalang kumpulan samun itu dipercayai seorang daripada tiga suspek yang berjaya melarikan diri.
Ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau kini direman sehingga 16 Jun untuk siasatan.
- BERNAMA

Pemangku Ketua Polis Selangor SAC Dato' A. Thaiveegan menunjukkan helmet yang digunakan oleh suspek.