Suspek Dera Kanak Kanak Diberkas
Kuala
Terengganu, 13 Jun - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat
dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di
Kampung Taman Permint Permai, Bukit Chendering di sini.
Lelaki
berusia 28 tahun yang merupakan teman lelaki ibu kanak-kanak itu,
ditahan pada pukul 1.40 pagi semalam di sebuah rumah tidak bernombor di
Kampung Gong Merawang, Marang.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manoharan berkata lelaki yang
bekerja sebagai buruh dan berasal dari Marang itu mempunyai rekod
jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
"Semasa
ditahan, kami turut menjumpai sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri
di Kuala Terengganu dan ujian saringan air kencing mendapati suspek
positif dadah jenis Methamphetamine," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Isnin
lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelamatkan seorang kanak-kanak
perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera rakan lelaki ibunya. Budak
perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam keadaan
sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk dipercayai
akibat terkena objek panas lebih seminggu lepas.
Manoharan
berkata polis telah merakam keterangan daripada ibu mangsa dan
menggunakan khidmat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) untuk mengambil
keterangan daripada kanak-kanak berkenaan.
"Berdasarkan
siasatan awal, kami dapati memang terdapat unsur penderaan pada mangsa,
dengan kecederaan paling serius ialah di bawah tapak kaki kanak-kanak
itu yang melecur akibat bahan panas.
"Kami
percaya mangsa telah seminggu didera berdasarkan kesan luka yang
dialami sebelum laporan dibuat. Selain itu terdapat juga beberapa kesan
kecederaan lama dan baharu di badan mangsa," katanya.
Manoharan berkata bapa kanak-kanak itu kini menjalani hukuman penjara kerana masalah dadah.
Kanak-kanak
itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan
tinjauan Bernama di HSNZ mendapati kanak-kanak itu dijaga ibunya. -
BERNAMA