Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Tiga Lelaki Diberkas Selepas Sejam Menyamun

Diterbitkan: 17 Jun 2014 5.10 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
'Pemeriksaan mendapati kereta Wira dan Persona itu dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur dan Sunway, Petaling Jaya. Turut ditemui barangan milik mangsa yang disamun di restoran steambot itu...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-lelaki-diberkas-selepas-sejam-menyamun
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:44 MYT

Shah Alam, 13 Jun - Tiga lelaki yang baru menyamun kira-kira 20 pelanggan dan pemilik sebuah restoran steambot di Kampung Melayu Subang dekat sini pada Selasa lepas, tidak sempat menikmati hasil samun mereka apabila ditahan polis kira-kira sejam kemudian.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, seramai enam lelaki bersenjatakan parang dan rotan yang menaiki dua buah kereta menyamun wang dan barangan pelanggan dan pemilik restoran berkenaan membabitkan kerugian bernilai RM6,350.

Bertindak atas maklumat, katanya sebuah MPV polis kemudian dapat mengesan dan berjaya menahan kereta Proton Persona dan Proton Wira dinaiki penjenayah terbabit di Sungei Way, Petaling Jaya dekat sini sejam kemudian.

"Polis berjaya menahan tiga suspek lelaki berumur 18 dan 16 tahun yang berada dalam kereta Wira manakala tiga suspek lagi yang berada dalam kereta Persona dapat melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati kereta Wira dan Persona itu dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur dan Sunway, Petaling Jaya. Turut ditemui barangan milik mangsa yang disamun di restoran steambot itu.

"Sebelum kejadian di restoran berkenaan, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Petaling Jaya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Thaiveegan berkata siasatan mendapati kumpulan lelaki terbabit terlibat dalam empat kes samun di restoran serta kedai mamak di sekitar daerah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Cheras dalam tempoh empat bulan ini.

Beliau berkata dalang kumpulan samun itu dipercayai seorang daripada tiga suspek yang berjaya melarikan diri.

Ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau kini direman sehingga 16 Jun untuk siasatan.
- BERNAMA

Tiga Lelaki Diberkas Selepas Sejam Menyamun
Pemangku Ketua Polis Selangor SAC Dato' A. Thaiveegan menunjukkan helmet yang digunakan oleh suspek.

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 5.10 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM