Tiga Lelaki Aktif Pecah Rumah Di Nibong Tebal Tumpas
Nibong Tebal, 30 Julai - Polis memberkas tiga lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan sekolah termasuk sekolah agama di sekitar daerah ini.
Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata
suspek berusia antara 20 dan 30 tahun itu diberkas polis peronda di
Taman Rebana, Sungai Bakap di sini awal pagi Khamis lepas.
"Curiga
melihat dua motosikal dinaiki tiga lelaki ditunggang dengan laju di
awal pagi, anggota polis yang membuat rondaan bertindak mengejar mereka
sebelum dapat memintas sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki manakala
rakan mereka berjaya melarikan diri.
"Hasil
pemeriksaan mendapati dua lelaki berkenaan adalah kumpulan pecah rumah
dan polis turut menemui beberapa peralatan mencurigakan selain senjata
tajam, sarung tangan dan topeng muka," katanya kepada pemberita pada
Majlis Berbuka Puasa Polis Bersama Komuniti SPS, di sini malam tadi.
Shafien
berkata hasil soal siasat, dua suspek berkenaan mengaku sedang membuat
perancangan untuk melakukan pecah sekolah di sekitar Nibong Tebal.
"Mereka
juga mengaku terbabit dalam memecah masuk sebuah sekolah agama sebelum
itu dan mencuri sebuah komputer riba dan wang tunai sebanyak RM200,"
katanya.
Menurut Shafien seorang lagi suspek yang sebelum itu berjaya lolos, menyerah diri kepada polis beberapa jam kemudian.
"Mereka
kini direman dan polis sedang siasat untuk mengenal pasti sama ada
mereka ada terbabit dalam beberapa kejadian jenayah pecah rumah atau
bangunan lain sebelum ini," katanya.
Terdahulu
pada majlis itu, 28 balu dan anak yatim anggota polis di daerah SPS
menerima bantuan sempena Aidilfitri. Turut menerima sumbangan itu ialah
bekas Special Constabel (SC), Bedah Mohamad, 94.
Sumber : BERNAMA