Tiga Kes Pecah Masuk Selesai 12 Suspek Ditahan Di Kuching
Kuching,
17 Jan - Polis berjaya menyelesaikan, masing-masing satu kes pecah
masuk kedai, stor dan rumah dan menahan 12 suspek yang kesemuanya
positif dadah syabu dalam tempoh enam hari.
Ketua
Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata polis turut berjaya
menemui semula barangan yang dicuri bernilai RM150,000.
Katanya
kes pertama melibatkan pecah masuk kedai barangan elektrik di Hakka
Avenue Estate, Penrissen, dekat sini pada 10 Jan melibatkan kerugian
RM80,000.
"Hasil
siasatan dan maklumat risikan, tujuh lelaki tempatan berusia 20 hingga
40 tahun ditahan di beberapa lokasi, dan polis berjaya menemui semula
pelbagai barang dianggarkan bernilai RM50,000," katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Beliau
berkata susulan itu, polis berjaya menahan dua lagi suspek lelaki
berusia 24 dan 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah
masuk kedai itu.
"Tujuh suspek pertama ditahan reman tujuh hari bermula 11 Jan manakala dua suspek lagi ditahan reman empat hari bermula 14 Jan.
Hasil soal siasat mendapati kumpulan ini bergiat aktif pecah kedai dan pejabat di sekitar Kuching," katanya.
Roslan berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati semua sembilan suspek positif dadah jenis syabu (methapethamine).
Katanya
kes kedua membabitkan pecah masuk stor di Batu Tiga, Jalan Rock, dekat
sini pada Rabu lepas apabila pemilik dan pekerja stor yang melawat stor
itu ternampak sebuah van putih di situ.
"Curiga
dengan van tersebut, mereka berdua menghalang van tersebut dan berjaya
menahan pemandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, namun seorang
lagi lelaki berjaya melarikan diri.
"Polis
yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berhampiran
bergegas ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan dan berjaya menemui
semua barang-barang milik pengadu dan beberapa barang lain yang
dianggarkan bernilai RM50,000.
Van tersebut juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
Katanya suspek juga didapati positif dadah syabu dan ditahan reman empat hari bermula semalam.
"Polis juga telah mengenal pasti identiti suspek yang melarikan diri, gerakan memburu sedang giat dijalankan," katanya.
Roslan
berkata kes ketiga membabitkan penahanan dua lelaki tempatan berusia 33
dan 37 tahun ketika sepasukan polis melakukan rondaan cegah jenayah.
"Polis
yang melakukan rondaan di kawasan Stampin, dekat sini telah menahan
sebuah kenderaan jenis Toyota Ipsum dalam keadaan mencurigakan. Hasil
soal siasat dua suspek tersebut telah membawa polis ke sebuah rumah di
Taman Daya, BDC, dekat sini. Polis menjumpai pelbagai barang dipercayai
dicuri hasil kegiatan pecah rumah dianggarkan bernilai RM50,000,"
katanya.
Katanya kedua-dua suspek juga positif syabu dan mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam.
Sumber : BERNAMA