Dua Lelaki Ditahan Terlibat Dalam Geng Samun
Johor
Baharu, 16 Jan - Dua lelaki terpaksa berputih mata kerana tidak sempat
'menikmati' hasil rompakan apabila ditahan polis tidak lama selepas
mereka menyamun dua lelaki warga Indonesia, di Pesiaran Nusa Perintis,
Gelang Patah, dekat sini, Selasa lepas.
Ketua
Polis Daerah Nusajaya Supt Nor Hashim Mohamed berkata dalam kejadian
pada 11.10 malam itu, polis terpaksa mengejar kedua-dua suspek bersama
dua lagi rakan mereka sejauh hampir empat kilometer sebelum menahan
mereka.
"Sebelum
itu kita menerima aduan daripada seorang lelaki warga Indonesia yang
memaklumkan beliau dan rakannya telah disamun oleh empat lelaki warga
tempatan ketika sedang berjalan kaki di kawasan kejadian.
"Bertindak
atas laporan, sekumpulan polis telah ke tempat kejadian bersama dengan
mangsa dan telah terserempak dengan dua buah motosilal yang dinaiki
suspek. Polis kemudian telah mengejar dan berjaya menahan dua daripada
mereka yang terlibat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis
Daerah Nusajaya di sini hari ini.
Bagaimanapun, dua lagi suspek berjaya melarikan diri, katanya.
Beliau
berkata, hasil tangkapan itu polis berjaya menemui semula barangan
mangsa dan merampas pelbagai barangan lain termasuk dua buah beg
berjenama terkenal, enam telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah
motosikal.
"Hasil
siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan lima kes samun
di sekitar Nusajaya dan dengan penahanan mereka, kita percaya berjaya
menyelesaikan sebanyak 14 kes samun di Nusajaya dan Gelang Patah,"
katanya.
Nor
Hashim berkata, keduda-dua lelaki berumur 18 dan 24 tahun itu kini
ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Sumber : BERNAMA