Tiga Ditahan Disyaki Cetak Wang Palsu Di Kuala Besut
Besut,
28 Okt - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit
dalam pengedaran dadah dan mencetak wang kertas palsu di Kampung Nangka,
Kuala Besut di sini malam tadi.
Mereka
yang berumur antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan ke
sebuah rumah di kampung itu pada 8 malam hasil maklumat orang awam, kata
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria.
Beliau
berkata hasil serbuan itu, polis merampas 40 biji pil methamphetamine,
181 keping kertas bersaiz A4 yang bercetak depan dan belakang RM100
dengan nombor siri palsu, 26 keping kertas bersaiz A4 yang bercetak
bahagian depan RM100 bersiri, tiga keping kertas bersaiz A4 yang
bercetak belakang sahaja RM100 dan dua keping kertas menyerupai wang
kertas RM100 yang siap dipotong.
Kamaruddin
berkata turut dirampas ialah pemotong kertas, pencetak jenama Canon dan
dua notebook jenama Haier dan Acer serta satu komputer jenama Dell.
"Seorang
lelaki yang ditahan itu tidak bekerja manakala wanita itu adalah
peniaga kedai makan dan suaminya yang berasal dari dari Bandar Baharu,
Kedah itu merupakan seorang mekanik," katanya.
Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu positif dadah.
Sumber : BERNAMA