Article
Tiada Kompromi Kepada Pelanggaran Disiplin
"Perkhidmatan awam tidak boleh dicemari dengan kegiatan rasuah kerana ia boleh menghilangkan keyakinan orang ramai yang berurusan dengannya,"..

Bukit Aman, 22 April - "Bagi menjaga dan mempertingkatkan tahap disiplin di kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiada tolak ansur kepada pegawai dan anggota yang melakukan penyelewengan, salah guna kuasa, membelakangkan undang-undang dan pelbagai salah laku yang lain," tegas Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara, hari ini.
Menurutnya, fokus terhadap peranan dan fungsi-fungsi Bahagian Tatatertib dalam PDRM tetap menjadi keutamaan yang mungkin perlu diperkemas dan dimantapkan lagi sejajar dengan pelaksanaan Kempen Tolak Rasuah pada tahun ini.
Beliau turut berharap kempen ini dapat membetulkan persepsi negatif dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi PDRM yang telah mencapai usia 207 tahun selain menentukan warga PDRM melaksanakan tanggungjawab berlandaskan kepada undang-undang, peraturan, arahan-arahan dan prosedur-prosedur kerja yang telah ditetapkan.
"Perkhidmatan awam tidak boleh dicemari dengan kegiatan rasuah kerana ia boleh menghilangkan keyakinan orang ramai yang berurusan dengannya," akhiri beliau.
Beliau berucap sempena Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Bukit Aman, yang mana turut dihadiri oleh Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah-pengarah PDRM, DCP Datuk Abdul Razak bin Abdul Ghani, Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan) mewakili Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah serta pegawai-pegawai kanan PDRM.