Tan Sri Khalid Karisma Aura Dan Personamu Mewarnai Persada
TAN SRI KHALID, KARISMA, AURA DAN PERSONAMU MEWARNAI PERSADA
Kuala Lumpur, 5 September 2017 – Bersempena dengan pesaraan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar menghadiri satu majlis makan malam bertemakan “Karisma, Aura, Personamu, Mewarnai Persada” yang diadakan di Hotel Majestic, di sini, malam tadi.
Majlis yang penuh istiadat ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada beliau yang telah menabur bakti sepanjang 41 tahun berkhidmat dalam pasukan.
Sumbangan dan jasa serta pengorbanan yang telah beliau curahkan selama ini dengan menunjukkan prestasi kerja yang begitu membanggakan, dalam membantu pasukan berdiri teguh dan diyakini oleh masyarakat di negara ini amat dihargai oleh pasukan PDRM.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Mohamad Fuzi Harun yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu, dalam ucapannya berkata Tan Sri Dato’ Sri Khalid adalah satu dalam sejuta bintang, yang sentiasa bergemerlapan di hati.
Tambah beliau, matlamat kita sekarang haruslah berpaksikan kepada konsep setia dengan kepimpinan, agama, bangsa dan negara, berkhidmat dengan penuh suci hati dan tidak berbelah bahagi, serta bersama dan bersatu hati dalam mendepani apa jua dugaan yang mendatang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah-pengarah PDRM serta pegawai-pegawai kanan.